FASHA amal tiga petua agar kekal relevan dalam industri seni. FOTO: Aziah Azmee
FASHA amal tiga petua agar kekal relevan dalam industri seni. FOTO: Aziah Azmee
Syanty Octavia Amry


KEWUJUDAN ramai wajah baru sedikit-sebanyak menenggelamkan penggiat seni sedia ada. Namun berbeza pula dengan Fasha Sandha apabila popularitinya sedikitpun tidak terjejas meski persaingan kian sengit.

Malah, tawaran berlakon tidak pernah putus diterima ibu kepada dua cahaya mata itu. Bahkan, dia masih laris sebagai duta produk dan menjadi buruan banyak pihak.

Sentiasa bersyukur, menghargai dan komited dengan apa yang dilakukan, bintang berusia 35 tahun itu mengakui tiga perkara berkenaan adalah rahsianya kekal relevan dalam industri seni.

“Alhamdulillah, saya berbesar hati apabila masih diterima dan diberikan peluang untuk berada dalam bidang seni meskipun kini bakat baru muncul bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.

“Bagi saya apa yang penting ialah keikhlasan kita dalam melakukan sesuatu tugas yang diberikan. Tidak hanya dalam lakonan begitu juga ketika menjadi duta produk yang mana saya akan beri lebih daripada apa yang diminta.

“Jika mereka minta lapan komitmen kita di media sosial, saya akan buat 14 dan tidak hanya 100 peratus tetapi 200 peratus komitmen saya berikan,” katanya.

Fasha berkata, tidak rugi jika beri komitmen lebih, apatah lagi untuk perkara yang disukai.

“Saya suka dan gembira dengan kerjaya ini. Dari usia muda lagi saya sudah berikan sepenuh perhatian walaupun kadang-kadang rasa penat, ia bukan masalah.

“Begitu juga apabila diminta membuat promosi di laman sosial, saya tidak berkira malah tidak rugi untuk kita mempromosikan sesuatu yang ada kaitan dengan diri kita.

“Apa pun, terpulang kepada individu jika menuntut bayaran untuk melakukan promosi kerana itu hak mereka. Jika tanya saya, memang saya suka mempromosikan drama lakonan saya malah saya turut mempromosikan drama lakonan adik saya,” katanya.

FASHA fokus komitmen sebagai duta produk.
FASHA fokus komitmen sebagai duta produk.

Mengulas mengenai lakonan, Fasha berkata, banyak tawaran yang terpaksa ditolak berikutan perlu fokus komitmen sebagai duta produk.

“Saya ada menerima tawaran berlakon drama bersiri yang ambil masa lama tetapi terpaksa tolak kerana ada komitmen lain dan waktu sama perlu melaksanakan tugas sebagai duta produk.

“Saya akan berehat sehingga Ogos ini. Apa pun, syukur kerana masih ada produksi yang tidak pernah berhenti menawarkan saya watak hingga ke hari ini,” katanya.

Terbaru, Fasha membintangi drama Semua Salahku yang menghiasi slot Lestary TV3 dan bergandingan dengan Nafiz Muaz serta Fauziah Nawi.

HARGAI PEMINAT

Jika sesetengah artis hanya mendekatkan diri dengan peminat apabila tiba acara anugerah bagi mendapatkan undian, Fasha sebaliknya apabila sentiasa menjaga hubungan baiknya dengan peminat.

Fasha berkata, sejak awal pembabitan lagi dia sentiasa menganjurkan aktiviti dengan peminat sebagai tanda menghargai sokongan mereka selama ini.

Walaupun sudah berkahwin dan mempunyai anak, hubungannya dengan peminat kekal baik.

“Saya bersyukur peminat sentiasa menyokong kerjaya saya. Mereka ada di belakang saya walaupun kini saya sudah berkeluarga. Mereka faham kesibukan saya sebagai isteri dan ibu.

“Dengan peminat saya sentiasa jadi diri sendiri dan tidak bersusah payah menjadi orang lain semata-mata mahu jaga hati mereka.

“Rasa terharu apabila mereka bersusah payah mengundi saya untuk Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) akan datang sehingga tercalon untuk tiga kategori,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 6:01 AM