Elisya Sandha
Elisya Sandha
Ramlah Zainal


 

Kuala Lumpur: "Saya tidak menolak jika ditawarkan watak antagonis termasuk 'penyondol' serta tidak takut dibenci penonton kerana ia sekadar lakonan," kata pelakon Elisya Sandha.

Menurut Elisya atau nama sebenarnya, Nur Elisya Sandha Hassan, 25, jika watak dilakonkan itu berjaya menimbulkan kebencian pada penonton ia adalah satu pencapaian dalam karier seninya.

"Jika watak antagonis atau penyondol itu berjaya membuatkan penonton benci ia juga bermaksud pelakon itu berjaya menjiwai watak dilakonkan dengan baik," katanya kepada Harian Metro.

Elisya ditemui pada majlis perasmian dan pelantikannya bersama pelakon Nora Danish sebagai duta produk Gattox yang berlangsung di sini, baru-baru ini.

Mengenai watak lagi, kata Elisya, setakat ini dia belum berpeluang untuk melakonkan watak antagonis dalam drama dan filem sejak lebih sedekad berkecimpung dalam bidang lakonan.

Katanya, dia sering ditawarkan watak baik sepanjang pembabitannya dalam bidang lakonan.

"Mungkin karakter saya nampak lemah lembut dan 'soft spoken' serta dianggap tidak sesuai untuk melakonkan watak antagonis.

"Saya rasa wajah saya ini tidaklah nampak begitu baik kan? Saya boleh saja buat muka garang untuk watak,"kata adik kepada pelakon popular Fasha Sandha ini.

Sementara itu, kata Elisya, suaminya, Uzair Haqimy, 26, juga menasihatkannya untuk lebih sekektif dari segi watak ditawarkan ketika ini.

Katanya, sudah sampai masanya dia memilih watak dan jalan cerita sesuai untuk mengembangkan bakat sedia ada.

"Sebenarnya, saya juga dapat banyak tawaran berlakon tetapi terpaksa menolaknya kerana kebanyakan watak ditawarkan hampir sama sahaja," katanya yang memiliki seorang anak, Bunga Elhaq.

Mengimbas latarnya, Elisya mula terbabit dalam bidang lakonan sejak 2014. Antara drama lakonannya ialah Puteri Yang Ditukar, Misteri Mona, Ratu Ten Pin dan banyak lagi.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2024 @ 11:38 AM