Ridzuan Abdul Rahman


SIKAP profesional, kualiti lakonan dan komitmen penuh Fasha Sandha, 38, terhadap perkara berkaitan kerjayanya menjadikan dia pelakon yang mempunyai nilai dan masih kekal berada dalam kelas tersendiri.

Sehingga kini tawaran berlakon tidak putus-putus diterima ibu kepada tiga cahaya mata itu membabitkan watak utama.

Tidak terkecuali,Fasha masih laris sebagai

duta produk dan menjadi pilihan banyak pihak termasuk yang terbaharu apabila bergelar wajah untuk kempen promosi koleksi telekung milik sebuah syarikat tempatan.

"Alhamdulillah, rahsia saya sentiasa bersyukur, menghargai dan komited dengan apa yang dilakukan. Itulah yang dipraktikkan dalam hidup saya dan buat saya kekal relevan dalam industri seni.

"Saya sangat berbesar hati apabila masih diterima dan diberikan pelbagai peluang lain sepanjang berada dalam bidang seni sejak dulu hingga kini.

"Apa yang paling penting ialah keikhlasan kita dalam melakukan sesuatu tugas yang diberikan tak kira sama ada dalam lakonan atau bidang lain," katanya.

Fasha berkata, seperti produk telekung ini, dia meneliti terlebih dulu dalam semua aspek sebelum menyatakan persetujuan.

"Pelbagai faktor dilihat antaranya kuasa membeli dikalangan pengguna, kualiti produk dan sebagainya kerana saya bukan nak kejar duit jadi 'duta' semata-mata disebabkan bayaran.

BERSYUKUR peminat terima kekurangan dan kelebihannya.
BERSYUKUR peminat terima kekurangan dan kelebihannya.

"Saya ambil tempoh tiga minggu untuk menilai dan akhirnya menerima

tawaran ini selepas membuat kajian terhadap produk dan latar belakang syarikat.

"Apabila menerimanya, saya mengharapkan keberkatan dalam mencari rezeki kerana apabila hendak melakukan promosi kita harus jujur dan bercakap benar," katanya.

Pemenang Pelakon TV Wanita Popular sebanyak tiga kali dan

Pelakon Filem Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian sebanyak dua kali ini berkata, dia gembira bekerja dengan mereka yang positif tanpa menilai penampilannya.

"Mereka ada alasan tersendiri pilih saya. Jenama begini walaupun lebih kepada yang berhijab tapi mereka tidak menilai yang kurang elok berkaitan orang 'free hair'.

"Telekung bukan saja untuk mereka yang berhijab tapi untuk orang 'free hair' yang bersolat juga. Orang boleh cakap apa saja mereka nak, asalkan kita tahu diri kita.

"Saya akan promosikan produk ini di media sosial. Tak dinafikan perasaan gementar kerana ini kali pertama saya jadi model telekung. Agak kekok sedikit mulanya," katanya.

BERSAMA seorang lagi duta telekung, Zizi Kirana dan pemilik Bella Ammara.
BERSAMA seorang lagi duta telekung, Zizi Kirana dan pemilik Bella Ammara.

Tanpa berselindung Fasha turut berharap apa yang berlaku akan menjadi langkah awal untuknya berhijrah apabila masanya tiba nanti.

"Saya pun bukanlah sempurna dan banyak kelemahan, tapi alhamdulillah peminat saya sentiasa terima kekurangan dan kelebihan saya.

"Begitu juga suami yang sentiasa terima kelemahan dan kelebihan saya," katanya.

Berbicara mengenai lakonan, Fasha berkata, rezekinya pada tahun ini sangat murah.

"Kita baru habis Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sebagainya tapi alhamdulillah mungkin semua orang nak 'start' balik termasuklah penggambaran drama.

"Saya kini terbabit dalam 'shooting' drama 80 episod berjudul Dendam Seorang Isteri bersama Nad Zainal untuk tayangan di Astro pada Mac ini.

"Manakala, drama bersiri yang dah siap berjudul Khilaf Asmara bersama Nelydia Senrose dan Fattah Amin akan ditayangkan menerusi slot Samarina TV3 pada Ramadan nanti," katanya.

Fasha juga mengharapkan agar sambutan Aidilfitri kali ini disambut dengan gembira berbanding sebelum ini.

"Dah dua tahun kita beraya dalam keadaan yang berbeza seperti sebelumnya. Saya harap tahun ini dapat disambut dengan gembira dan meriah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Februari 2022 @ 6:00 AM