Ayu kongsi khabar gembira kehadiran bayi perempuan
Ayu kongsi khabar gembira kehadiran bayi perempuan
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi lagu Hanya Di Mercu, Ayu Damit selamat melahirkan cahaya mata keempat, seorang bayi perempuan awal pagi semalam dengan berat 2.3 kilogram (kg) secara normal.

Dalam hantarannya di Instagram, Ayu, 34, memuat naik hantaran yang turut disertakan dengan gambar bayi perempuan yang selamat dilahirkan di sebuah pusat perubatan di sini itu.

"Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Ilahi, pada 2 Disember 2023, jam 1.21 pagi, Ayu selamat melahirkan bayi perempuan. Terima kasih atas doa semua dari keluarga dan rakan-rakan," tulisnya.

Ayu ketika dihubungi berkata, dia sepatutnya dijangka bersalin pada 19 Disember, namun, bersalin 17 hari lebih awal.

"Pada 1 Disember, saya keluar makan dan ada rasa sakit terutamanya di bahagian kaki kanan. Bila pergi lakukan pemeriksaan, tak sangka pula terus ditahan sebab dah ada bukaan.

"Kalau ikutkan, berat bayi pun memang lebih ringan berbanding anak-anak sebelum ini. Tapi, Alhamdulillah, keadaan bayi pun okay dan sihat," katanya kepada Harian Metro.

Akan berpantang selama 44 hari, Ayu bagaimanapun perlu menyempurnakan kerja persembahan nyanyian yang sudah dijadualkan pada 10 Disember ini.

"Ada acara persembahan yang saya dah 'lock' pada 10 Disember. Jadi, kalau ia tak memerlukan saya untuk bergerak terlalu banyak atau apa, saya rasa perlu diselesaikan juga sebab ia kerja dan komitmen.

"Tapi, kalau ikutkan suami, dia memang tak setuju. Tapi, saya pun dah berjanji dengan penganjur dan akan titik beratkan keselamatan," katanya.

Ayu mendirikan rumah tangga dengan suami, Syed Fauzi pada 2009 dan dikurniakan cahaya mata, Syed Nashrul Haikal, 14, Sharifah Alya Aryana, 11, dan Syed Aqif Najmi, 8 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2023 @ 3:32 PM