KINI hamil enam bulan.
KINI hamil enam bulan.
Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

Penyanyi Nurayu Damit atau lebih dikenali dengan nama Ayu OIAM (One In A Million) yang kini sarat mengandung anak ketiga sedang berehat panjang kerana sebelum ini dia mengalami pendarahan. Kandungannya sekarang mencecah usia enam bulan.

Ayu yang ditemui ketika dia bercuti bersama keluarga angkatnya di Pulau Pinang baru-baru ini beritahu sejak mengandung anak ketiga dia perlu banyak berehat kerana ia agak berbeza sekali ketika mengandungkan anak pertama dan kedua.

Baginya jika sebelum ini tiada masalah dihadapi termasuk alahan wanita mengandung dan sebagainya pada awal kandungan, namun kali ini badannya cepat letih, tak bermaya, lesu dan mungkin kerana pembawakan kandungan ini.

"Selera makan bertambah dan kadang saya minta yang bukan-bukan pada suami (Syed Fauzi Syed Baharuddin) dan paling tidak percaya sifat manja ketika zaman kanak-kanak dulu muncul semula.

"Saya juga suka makan benda yang pelik-pelik seperti meratah serbuk Milo dan minum susu pekat. Suami kadang jadi hairan dan keliru dengan sikap saya," katanya.

Ayu berkata, dia bersyukur kepada Allah SWT kerana diberi kesihatan yang baik biarpun sebelum ini tiada rehat dan jadual kerja penuh dengan pelbagai tawaran diterima dan atas nasihat doktor dan suami, perancangan rapi dibuat demi untuk kesihatan.

Jelasnya lagi, selepas penat bekerja inilah masa dan peluang yang sesuai untuknya menumpukan sepenuh perhatian pada keluarga, kesihatan diri dan peluang bercuti ke Pulau Pinang adalah satu hadiah yang amat bermakna buat mereka sekeluarga.

"Saya cukup gembira berada di sini bersama keluarga angkat apatah lagi dapat berjalaan-jalan sambil menikmati keindahan Pulau Pinang termasuk menikmati kelazatan mi udang di Teluk Kumbar selain berehat di hotel," ujar penyanyi lagu Hanya Di Mercu ini.

Ayu berkata, dia dijangka bersalin Januari tahun hadapan dan memilih Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Ayu dijangka bakal melahirkan anak lelaki.

Dia gembira dan teruja sekali untuk menanti kelahiran orang baru biarpun sudah memiliki dua cahaya mata, Syed Nashrul Haikal, 5 dan Sharifah Alyah Adriana, 4, dan seorang anak ang­kat perempuan Nur Qalisha Humairah yang kini mencecah usia setahun.

Katanya, dia akan kembali semula ke persada seni selepas bersalin nanti dan mengenai perancangan album ada beberapa tawaran diterima dan kini sedang mengumpul bahan kerana dia begitu memilih serta cerewet sebelum mengeluarkan satu-satu karya.

"Insyallah apabila tiba masanya akan saya berkongsi bersama peminat tersayang dan apa yang diharapkan agar segalanya di permudahkan dan berjalan dengan lancar," kata­nya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Oktober 2014 @ 5:01 AM