SUFFIAN berkata, Stadium MPT juga gelanggang keramat buat skuad Tok Gajah yang berkapasiti kira-kira 10,000 penonton. FOTO ASROL AWANG
SUFFIAN berkata, Stadium MPT juga gelanggang keramat buat skuad Tok Gajah yang berkapasiti kira-kira 10,000 penonton. FOTO ASROL AWANG
Asrol Awang


Kuantan: Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC) mengesahkan Stadium Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) di Temerloh akan menjadi gelanggang rasmi pasukan Sri Pahang FC bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SPFC, Datuk Mohammed Suffian Awang, berkata ia diputuskan selepas Stadium Darul Makmur di Kuantan akan dinaik taraf terutama membabitkan rumput padang stadium itu.

"Perubahan gelanggang dari Stadium Darul Makmur ke Stadium MPT diputuskan buat masa ini kerana kita belum pasti tempoh siap Stadium Darul Makmur yang perlu melalui daripada segi kewangan, tender dan naik taraf padang.

"Apabila tiada kepastian, perlawanan Sri Pahang secara sepenuhnya akan berlangsung di Temerloh pada musim baharu ini.

"Pada masa sama, Ahli Lembaga Pengarah SPFC dan Stadium MPT sudah membuat keputusan berhubung perubahan gelanggang dengan kelulusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL)," katanya.

Mohammed Suffian berkata, Stadium MPT juga gelanggang keramat buat skuad Tok Gajah yang berkapasiti kira-kira 10,000 penonton.

"Ia juga akan memberi daya tarikan kepada penyokong Sri Pahang, terutama penyokong tegar terutama dari enam daerah berdekatan iaitu Maran, Bera, Bentong, Jerantut, Raub dan Lipis untuk bersama memberikan sokongan padu kepada skuad Tok Gajah," katanya.

Bagi memastikan Stadium MPT memberikan kemudahan terbaik, MPT memperuntukkan RM150,000 untuk menaik taraf stadium berkenaan.

"Berdasarkan kapasiti penonton, Stadium MPT mempunyai 9,283 tempat duduk dan diharapkan peminat bola sepak di Temerloh serta daerah lain dapat memberikan sokongan kepada Sri Pahang FC," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 11:01 AM