AYU Puteh
AYU Puteh
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur : Penerbit drama dan filem, Datuk Ayu Puteh berharap rawatan jantung ke atas bekas wartawan hiburan popular, Nas Ahmad, 61, tidak lagi ditunda kerana sudah berlanjutan selama setahun.

Ayu berkata, Nas yang dikesan berhadapan masalah jantung awal tahun lalu memerlukan rawatan angiogram. Bagaimanapun, rawatan itu ditunda sehingga Disember tahun lalu dan dia kini berhadapan masalah kaki bengkak dan kesukaran tidur kerana susah bernafas.

Ia menyebabkan prosedur itu tidak dapat dilakukan pada Disember lalu dan terpaksa ditunda hingga Mac ini.

"Sedih hati saya apabila dapat tahu dia (Nas) kini sakit dan berhadapan masalah jantung. Lebih mengejutkan, ia berlanjutan kira-kira setahun kerana proses rawatan yang ditunda. Sekarang kakinya dah bengkak dan kena tunggu lagi sehingga Mac depan.

"Semoga pembedahan dapat dijalankan pada Mac nanti dan saya mohon pada orang ramai yang mengenali Nas Ahmad agar mendoakan kesihatannya supaya bengkak di kaki itu surut segera," katanya kepada Harian Metro.

Ayu berkata, Nas yang dikenalinya adalah individu yang baik, sopan walaupun soalan-soalannya agak 'panas'. Namun, itu adalah skop kerjanya.

"Saya mohon doakan Nas agar dia dapat bertahan dan tahap kesihatannya stabil untuk melakukan pembedahan.

Saya juga mohon persatuan-persatuan seni menghulur bantuan diperlukan kepada Nas. Sekarang ini, dia berada di dalam ujian dan marilah kita sama-sama membantu apa yang perlu. Dia juga banyak berjasa kepada industri hiburan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2023 @ 3:32 PM