Ayu Damit bersama suami.
Ayu Damit bersama suami.
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi, Ayu Damit menyangkal kata-kata beberapa kenalan yang menganggap suaminya, Syed Fauzi Syed Baharuddin menumpang popularitinya apabila kerap kali dilihat dan dianggap 'menempel' di pelbagai acara.

Ayu ketika dihubungi berkata, ada beberapa kenalannya yang bertanya, adakah perlu untuk dia sentiasa membawa suaminya ke merata tempat.

"Ada kenalan yang tanya, 'kau memang tak boleh ke kalau tak bawa laki kau kalau ke mana-mana?'. Bagi saya, tak ada masalah pun sebab dia suami saya.

"Bila ada yang menganggap dia ingin menumpang populariti dan glamour, saya rasa kalau benarlah begitu, kenapa baru sekarang dan bukan sejak dulu lagi," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, soalan itu juga kerap ditanya kerana dia dilihat sering memuat naik gambar bersama suaminya.

"Saya rasa tak salah pun kalau saya sering memuat naik gambar bersama suami. Lagi mudah untuk saya ke mana-mana," katanya.

Ayu juga menganggap itu rezeki buat mereka sebagai suami isteri.

"Kami percaya kepada rezeki. Mungkin sebab dia selalu bersama saya ke beberapa acara, dia dah mula terbiasa untuk berada di depan kamera. Secara tak langsung, ada rezeki kami untuk muncul bersama dalam beberapa program antaranya 'game show' dan satu lagi program masakan.

"Apa pun, sebelum menerima sebarang tawaran yang memerlukan saya dan suami muncul bersama dalam apa-apa program saya perlu mendapatkan persetujuannya terlebih dulu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 November 2021 @ 3:30 PM