Ayu bersama Muhammad Fardhana dan Bilqis.
Ayu bersama Muhammad Fardhana dan Bilqis.
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: "Walaupun perkenalannya singkat, tapi serasi."

Demikian kata penyanyi, pelakon dan pengacara Indonesia, Ayu Ting Ting yang kini sudah bergelar tunang kepada kekasih hatinya, Muhammad Fardhana.

Ayu mengumumkan perkara itu menerusi program Brownis yang diacarakannya, semalam selepas berita pertunangannya tular sejak beberapa hari lalu.

"Proses kenalnya sangat pendek. Kami awalnya kenal dan berkomunikasi menerusi telefon sebab orang tua kami, saling kenal satu sama lain dan nak jodohkan. Jadi, boleh dikatakan 'semi taaruf' (perkenalan awal) jugalah.

"Kami kenal pada awal Januari dan selepas itu, mula serius. Mungkin ini sudah jalan dan jodohnya," katanya.

Ayu atau nama sebenarnya, Ayu Rosmalina, 32, berkata, dia memilih untuk tidak menguar-uarkan mengenai pertunangannya kerana ingin menjaga privasi keluarga kedua-dua belah pihak.

"Alhamdulillah, proses lamaran berjalan lancar dan hanya dihadiri keluarga kedua-dua belah pihak. Keluarga terdekat sahaja. Memang sengaja kami buat untuk keluarga dahulu kerana ini baru proses lamaran dan pertunangan," katanya.

Ditanya mengenai keperibadian Fardhana, 31, Ayu menggambarkan sosok lelaki itu sebagai seorang yang serasi bukan sahaja dengan dia, tetapi juga dengan keluarganya.

"Baru beberapa kali bertemu, kami dah rasa ada keserasian. Kami hormat satu sama lain dan dia sangat baik. Dia juga menunjukkan rasa hormat dan sayang kepada Bilqis (anak Ayu).

"Dia terima saya dan keluarga saya seadanya. Mungkin ini sudah saatnya," katanya.

Ayu juga meluahkan rasa terujanya kerana tidak menyangka, akan berpeluang melalui proses lamaran seperti ini.

"Rasa seperti bermimpi dan tak sangka, dapat juga saya rasakan proses lamaran seperti ini. Saya rasa sangat gembira. Alhamdulillah, semuanya berjalan seperti dirancang," katanya.

Sahabat yang juga rakan pengacara, Ruben Onsu turut meluahkan rasa bahagia atas pertunangan Ayu dan Fardhana serta mendoakan yang terbaik buat pasangan itu.

Terdahulu, Ayu pernah mendirikan rumah tangga dengan bekas suami, Henry Baskoro Hendarso pada 2013, namun rumah tangganya hanya bertahan selama 21 hari sebelum bercerai.

Perkahwinan pertama itu dikurniakan cahaya mata, Bilqis Khumairah Razak.

Sebelum ini, Ayu pernah dikatakan menjalin hubungan cinta dengan beberapa selebriti termasuklah Boy William dan Ivan Gunawan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Februari 2024 @ 2:31 PM