Ian Kasela hiburkan peminat sempena konsert di Mega Star Arena Kuala Lumpur.
Ian Kasela hiburkan peminat sempena konsert di Mega Star Arena Kuala Lumpur.
Ian Kasela berduet dengan Ella. FOTO Ihsan Orange International Entertainment
Ian Kasela berduet dengan Ella. FOTO Ihsan Orange International Entertainment
Wan Asrudi Wan Hasan


Kuala Lumpur: Band popular Radja membuktikan kepada peminat tempatan bahawa insiden ugutan bunuh yang dilalui ketika menjayakan konsert di Selatan tanah air pada Mac lalu sudah dilupakan dan tidak sedikitpun menjejaskan aura mereka ketika menjayakan Live In Concert: Radja, malam tadi.

Konsert berlangsung lebih dua jam di Mega Star Arena di sini, mendapat sambutan hangat dan dihadiri hampir 5,000 peminat.

Ternyata aura band dari Indonesia yang ditubuhkan lebih dua dekad itu tak luntur.

Radja dianggotai vokalisnya, Ian Kasela, Moldy Kusnadi (gitar) dan Seno Aji (dram) menyampaikan lebih 16 lagu popular mereka antaranya Selalu Jauh Dari Cinta, Wahai Kau Cinta, Cinderella, Benci Bilang Cinta, Ga Ada Waktu, Manusia Biasa, Yakin, Patah Hati dan Angin.

Menambah kemeriahan di konsert itu penampilan Ratu Rock negara, Ella yang berduet dengan Ian menyanyikan lagu Jujur serta Ta'kan Melupakanmu.

Kemunculan Ella atau Nor Azila Aminuddin, 57, dengan gaya tersendirinya mendapat sorakan gemuruh penonton.

Usai menyampaikan lagu bersama Ella, Ian berkata ia kali pertama mereka bertemu walaupun Ella pernah merakamkan semula lagu kumpulan itu sebelum ini.

"Sejak Ella menyanyikan semula lagu Jujur kira-kira pada tahun 2008, kami belum berkesempatan berjumpa dan ini pertama kali kami berkongsi pentas yang sama.

"Saya kaget (terkejut) melihat kecantikan Ella... ya kan (Ian bertanyakan kepada penonton). Jika penonton setuju saya mahu ajak Ella ke Indonesia pula nanti," katanya.

Ella kemudiannya turut menghiburkan peminat menerusi beberapa lagu popularnya.

Dalam pada itu, Radja menerusi Orange International Entertainment diterajui pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Mohd Fadzli Idrus juga menganjur utama konsert turut menekankan solidariti buat Gaza dengan menghulur sumbangan sebanyak RM5,000 kepada tabung membantu rakyat Palestin.

"Sama-sama kita berdoa insiden yang berlaku di Palestin supaya cepat selesai ya," kata Ian lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 November 2023 @ 6:22 PM