Bella (kiri) dan Sophia.
Bella (kiri) dan Sophia.
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Isteri penyanyi, Aliff Aziz iaitu Bella Astillah mendakwa pelakon, Sophia Albarakbah menipu dan memutar belit kenyataan mengenai kehadirannya di minggu ketiga konsert All Stars Gegar Vaganza (ASGV) di Shah Alam, malam kelmarin.

Bella atau nama sebenarnya, Dayang Ara Nabellah Awang Astillah menerusi hantaran di Instagram Story turut mendedahkan Sophia hanya beredar dari dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sebaik saja persembahan Alif selesai.

"Haih tapi tak hairanlah dia ni dah biasa menipu dan putar belit. Ya Allah masih nak menipu masih ada di dalam dewan sehingga persembahan Liza Hanim?

"Serius la dia ni. Dahlah nama tak ada dalam senarai artis yang hadir. Dan kemudian lepas Aliff habis saja menyanyi dia terus gerak balik.

"Sudahlah duduk depan wartawan, selepas itu hendak menipu lagi," tulisnya di Instagram Story.

Selain itu, Bella yang juga pelakon turut mendakwa nama Sophia sebenarnya tidak ada dalam senarai tetamu yang sepatutnya hadir pada malam itu.

Sementara itu, Bella ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai hantarannya di Instagram Story itu.

Terdahulu, Sophia ketika ditemubual wartawan hari ini menjelaskan kehadirannya ke ASGV tiada kaitan dengan penyertaan Aliff.

Sophia berkata, dia hadir bagi menemani dan memberi sokongan kepada sepupunya, Aisha Retnio yang membuat persembahan pada malam itu.

Dia juga menafikan pulang sejurus selepas Aliff selesai membuat persembahan.

Sebelum ini, Sophia dan Aliff pernah mencetuskan kontroversi apabila didakwa menjalinkan hubungan cinta ketika menjalani penggambaran drama bersiri, Ku Akad Kau Dengan Bismillah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2023 @ 9:55 PM