Antara babak dalam filem Pagari Bulan.
Antara babak dalam filem Pagari Bulan.
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: "Saya sangat sedih dan kecewa. Filem Pagari Bulan dapat maklum balas positif daripada orang ramai tapi kutipan sangat teruk di pawagam.

"Daripada 10 orang yang menonton filem ini semuanya beritahu mereka tersentuh emosi dan menangis," kata pengarah filem Pagari Bulan, Raja Mukhriz Raja Ahmad.

Raja Mukhriz berkata demikian ketika diminta mengulas hantarannya di aplikasi X (dulu Twitter) mengenai kutipan filem itu yang sangat teruk sejak ditayangkan di pawagam tempatan bermula 5 Oktober lalu.

"Dengan isu Palestin dan Israel, korang boleh tengok betapa kejamnya penjajah dan ini terjadi di Tanah Melayu dahulu. ' Sale' sangat tak ok.

"Sebagai pengarah Pagari Bulan, tidak kisahlah salah siapa pun berkaitan 'marketing' (pemasaran) dan promosi. Dah nasib kami. Mohon RT. Redha," tulisnya.

Raja Mukhriz ketika dihubungi berkata, sebagai pengarah dia dan pihak produksi sudah buat yang terbaik ketika penggambaran untuk menghasilkan karya berkualiti setanding dengan peringkat antarabangsa.

"Namun, pihak kami tiada kepakaran dari aspek pengedaran dan promosi untuk filem ini.

"Saya tidak mahu menuding jari kepada pihak tertentu tapi apa yang saya nampak kelemahannya ialah dari aspek pengedaran dan promosi filem ini yang tidak sampai kepada khalayak. Promosi juga dibuat lewat selepas filem dah nak habis tayang.

"Bagi saya pihak pengedaran dan promosi filem ini perlu ada strategi pemasaran untuk menarik penonton ke pawagam tanah air," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Mengulas dari segi jumlah tayangan, kata Raja Mukhriz, dia berasa terkilan kerana jumlah tayangan filem Pagari Bulan juga sudah dikurangkan di pawagam walaupun baharu minggu pertama tayangannya.

"Saya tidak boleh hubungi pihak pawagam untuk meminta mereka tidak mengurangkan jumlah tayangan kerana ia adalah tanggungjawab pihak pengedaran filem ini.

"Saya juga sudah berusaha menghubungi pihak pengedar filem ini tetapi mereka kini berada di luar negara," katanya.

Filem Pagari Bulan yang menerima dana filem kenegaraan bernilai RM2.5 juta mengisahkan Bulan lakonan Nazeera Sardi, iaitu anak sulung pengusaha tanaman dan pemburu dikenali sebagai Ismail dan isterinya, Hasnah, berdepan tentera Jepun yang mendarat di Kelantan pada 1941.

Ketika itu, ramai penduduk kampung didera dan dibunuh. Anak gadis pula menjadi sasaran dengan ditahan dan dikurung sebagai 'comfort woman' atau pemuas nafsu tentera Jepun.

Kekejaman tentera Jepun terhadap wanita membuatkan Bulan mempertaruhkan nyawa demi menyelamatkan bangsa dan tanah air.

Selain Nazeera, Pagari Bulan dibintangi Aniq Durar, Alvin Wong, Andy Teh, Trisha Ooi, Michael Ang dan Laila Nasir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2023 @ 5:41 PM