Ramlah Zainal

Kuala Lumpur: "Alhamdulillah, filem Walid dapat jemputan untuk ditayangkan di festival filem di Uzbekistan selama lima hari bermula hari ini," kata pelakon utama filem Walid, Megat Sharizal.

Megat Sharizal berkata demikian ketika diminta mengulas hantaran yang dibuatnya di laman Insta Stories miliknya (IGs) mengenai filem Walid yang didakwa tidak mendapat sambutan di pawagam tempatan.

Filem Walid arahan Areel Abu Bakar ini mengetengahkan isu pemerdagangan kanak-kanak dan budaya seni silat.

"Memandangkan pawagam di Malaysia tak nak tayang filem Walid, maka kami membawa diri ke Tashkent International Film Festival di Uzbekistan!," tulisnya.

Menurut Megat Sharizal atau nama sebenar Megat Sharizal Yusoff, 44, filem Walid arahan Areel terpilih untuk tayangan sempena Tashkent International Film Festival di Uzbekistan selama lima hari bermula hari ini hingga 3 Oktober depan.

Katanya, pihaknya mendapat jemputan untuk menayangkan filem Walid di Uzbekistan dari pihak penganjur festival terbabit.

"Saya bersama, penerbit dan pengarah filem ini Areel akan berada di Uzbekistan selama seminggu dan semua kos keseluruhan trip di sini ditaja penganjur.

"Festival ini akan berlangsung selama lima hari bermula hari ini," katanya menerusi aplikasi WhatsApp.

Mengulas kutipan filem Walid yang ditayangkan di pawagam tanah air bermula 14 September lalu pula, Megat Sharizal berkata, dia sendiri tidak tahu mengenai jumlah kutipan filem berkenaan.

"Pengarah pun belum maklumkan kepada saya berapa jumlah kutipan keseluruhan filem Walid setakat ini.

"Difahamkan, filem Walid masih lagi ditayangkan di pawagam tempatan selepas masuk minggu ketiga tetapi jumlah pawagam yang menayangkan filem itu mungkin sudah berkurangan," katanya.

Sementara itu, kata Megat Sharizal, pihaknya giat mengadakan sesi 'road tour' filem Walid di serata tanah air untuk mempromosikan filem itu kepada masyarakat.

Katanya, sesi 'road tour' filem Walid bermula di Sungai Petani, Alor Star, Kedah serta diteruskan di Kuantan dan Terengganu sebelum ini.

"Team filem Walid juga mengadakan sesi bertemu peminat di pawagam sekitar Tawau, Kota Kinabalu, Lahad Datu dan Sandakan, Sabah ketika ini.

"Alhamdulillah, filem Walid mendapat sambutan dan maklum balas yang positif dari penonton di sana," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2023 @ 2:47 PM