FILEM Ulek Mayang memaparkan Terengganu sebagai lokasi utama. FOTO Amirudin Sahib
FILEM Ulek Mayang memaparkan Terengganu sebagai lokasi utama. FOTO Amirudin Sahib
Syafil Syazwan Jefri

LEGENDA Ulek Mayang tentunya tidak lagi asing buat masyarakat Malaysia.

Kini, kisah legenda itu bakal diangkat dan diterjemahkan ke dalam filem dan digarap oleh pengarah, Bade Azmi.

Filem bakal diterbitkan syarikat produksi Langit Terang Production Sdn Bhd dengan kerjasama Valus Vision International Film Distribution akan mengangkat kisah Ulek Mayang yang penuh misteri dan diulit dengan cerita yang bersesuaian dengan zaman sekarang.

Bade ketika ditemui berkongsi mengenai perancangan dan impiannya dalam merealisasikan filem ini ke layar lebar.

"Selepas Covid-19, ada satu filem pendek kerjasama dengan penulis skrip, Nur Hussain berjudul Tun Fatimah: The Rebel Queen. Itu yang menjadi pencetus semula untuk saya mulakan sesuatu yang baharu dan Nur kemudiannya mencadangkan satu filem.

"Prosesnya dah bermula sejak setahun lalu. Dalam proses itu, Nur berikan draf pertama dan kedua. Tambahan pula, sekarang ada pasukan pemasaran antarabangsa yang bersama kami untuk membantu dari sudut strategi pemasaran.

"Ulek Mayang sangat 'kuat' dan ada idea untuk menjadikannya satu subjek yang lebih kuat. Jadi, saya dan pasukan ingin komersialkan kepada standard dalam negara dan antarabangsa.

"Banyak potensi untuk kita menjayakan filem ini. Bukan sekadar ambil cerita lama dan sesuaikan dengan zaman sekarang. Itu takkan berhasil. Jadi, kena ada penambahbaikan untuk sesuaikan dengan penonton hari ini. Saya percaya potensinya sangat kuat," katanya.

Berkongsi sejarah kaitan antara Ulek Mayang dengan kerjayanya sebagai pengarah, Bade berkata, ia umpama satu imbauan kenangan buatnya ketika menjadi pengarah fotografi filem Fenomena.

"Dalam filem itu, ada adegan memaparkan Ulek Mayang. Jadi, menjadi satu impian saya untuk hasilkan semula filem ini dalam bentuk yang berbeza.

BADE Azmi (bertopi) bakal mengarahkan filem Ulek Mayang. FOTO Amirudin Sahib
BADE Azmi (bertopi) bakal mengarahkan filem Ulek Mayang. FOTO Amirudin Sahib

"Dalam kata lain, Ulek Mayang menjadi karya yang diinspirasikan daripada filem Fenomena sebab adegan Ulek Mayang dalam Fenomena sangat kuat," katanya.

Ditanya mengenai barisan pelakon yang akan mengisi watak-watak dalam filem itu, Bade berkata, dia mahukan wajah baharu yang segar namun memiliki bakat berbanding populariti.

"Untuk watak adik beradik puteri itu, memang ramai. Cumanya, kita akan ada seorang watak utama iaitu Mayang. Dari awal lagi, saya sudah bayangkan watak itu dimainkan oleh pelakon yang mungkin boleh hadir dalam kalangan generasi baharu, tetapi pada masa sama berbakat.

"Kriteria pemilihan saya adalah pelakon itu tak semestinya popular kerana saya lebih meneliti dari sudut bakat lakonannya. Selain itu, saya ingin membariskan barisan pelakon berpengalaman untuk mengisi watak yang lebih berusia dalam filem ini.

"Pada masa sama, Ulek Mayang yang cukup popular dalam kalangan masyarakat tempatan boleh diangkat dan dipromosikan sehingga ke peringkat antarabangsa," katanya.

Sementara itu, penulis skrip, Nur Hussain berkongsi serba ringkas jalan cerita diinspirasikan daripada tarian dan lagu Ulek Mayang itu sendiri.

"Secara ringkasnya, kalau berdasarkan tarian Ulek Mayang, kita tahu ia mengisahkan mengenai Puteri Mayang Sari yang jatuh cinta dengan nelayan bernama Awang. Buat masa sekarang, kami masih cari pengisi watak Mayang dan Awang.

"Jadi, filem ini juga diinspirasikan daripada tarian dan lagu Ulek Mayang itu sendiri. Kami juga mendapat khidmat nasihat penulis buku cerita rakyat iaitu Ninot Aziz," katanya.

Filem Ulek Mayang akan memulakan penggambarannya selepas tamat musim monsun di Pantai Timur memandangkan ia mengambil tempat di Terengganu sebagai lokasi utama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2023 @ 6:11 AM