LATIHAN yang dijalankan.
LATIHAN yang dijalankan.
BARISAN pengajar dan tenaga produksi Mayang.
BARISAN pengajar dan tenaga produksi Mayang.
Ridzuan Abdul Rahman

[email protected].

Rhythm Arts Production (RAP) buat julung kalinya mementaskan teater amal, Mayang bagi menunaikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) produksi itu yang ditubuhkan sejak Februari lalu.

Pengurus operasi dan pengarah projek, Saufi Sulaiman berkata, ia bertujuan memberi sokongan bantuan kepada 50 kanak-kanak cacat penglihatan di bawah naungan Supporting Early Education Development (Seed) Malaysia.

“Pementasan teater ini untuk mengumpul dana bagi menghasilkan ‘Audio Book’ pertama buat kanak-kanak yang kurang bernasib baik dan tidak berkemampuan.

“Justeru, sebahagian daripada kutipan tiket dihulurkan kepada tabung itu,” katanya.

Menurut Saufi, teater Mayang yang mendapat pimpinan tiga pengarah kreatif iaitu Awish Adam, Hamid Akcali dan Adilla Ismail selain mendapat khidmat nasihat Profesor Dr Norasikin Basir dari Jabatan Sosiologi & Antropologi, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM).

“Pementasan yang penuh dengan elemen tradisi, persepsi dan pengajaran membabitkan 45 sukarelawan daripada graduan universiti, aktivis teater serta sukarelawan amal. Latihannya bermula sejak Mei lalu.

“Kami mahu melahirkan lebih ramai modal insan dalam bidang seni tanpa mengira populariti mahupun kuantiti kerana itu adalah fokus utama,” katanya.

Cerita Saufi lagi, teater Mayang berteraskan kisah legenda Ulek Mayang dan diubah suai mengikut

situasi terkini.

Awish dan Hamid berkata, Mayang mengisahkan percaturan watak utamanya, Ali lakonan Azid Azidee yang ke laut bersama rakannya dan ia satu kesilapan besar.

“Kami cuba tampilkan kelainan apabila buat pertama kalinya, Mayang menyajikan perjalanan kisah legenda di luar minda sedar manusia.

“Kami tampilkan watak baru Mimiana (Firzana Redzuan) yang mempersoalkan tradisi dan persepsi masyarakat terhadap legenda Mayang. Persoalannya, adakah Mayang ini sama seperti yang diperkatakan manusia?

“Teater ini bukan sahaja naskhah yang dilahirkan melalui bacaan dan pandangan kami sebagai generasi muda. Ia juga penuh dengan metafora yang disampaikan menerusi seni eksperimental, drama, komedi bersahaja, tarian, nyanyian serta lakonan mantap daripada semua yang terbabit,” katanya.

Tambahnya, dengan hasil kreatif pemuzik dan penyanyi, sebuah lagu tema berjudul Aku Penglipur Lara turut dihasilkan.

“Lagu ini boleh didengari di YouTube,” kata mereka.

Teater amal Mayang bakal dipentaskan di Black Box, Damansara Performing Arts Centre (DPAC) pada 12 hingga 14 Ogos ini.

Tiket untuk pelajar berharga RM35 manakala orang awam RM40. Selain itu, diskaun 10 peratus diberikan untuk pembelian secara pukal.

Maklumat terkini dan perkembangan mengenai pementasan Mayang boleh diikuti di laman sosial Twitter, Facebook dan Instagram menerusi kata kunci #Mayang dan #TeaterAmalMayang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Ogos 2016 @ 11:31 AM