Pelakon Filem Mat Kola, Ucop, ketika sidang media dan  tayangan perdana Filem Mat Kola di GSC Tropicana Gardens, Kota Damansara. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Pelakon Filem Mat Kola, Ucop, ketika sidang media dan tayangan perdana Filem Mat Kola di GSC Tropicana Gardens, Kota Damansara. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Syafil Syazwan Jefri


Petaling Jaya : Penyanyi, Usop tidak berpuas hati dengan pempengaruh TikTok, Ratu Farah Diva yang didakwa menyalahgunakan gelaran sebagai penyanyi dan hadir ke dalam industri muzik tanah air tanpa bakat.

Usop atau nama sebenarnya Muhammad Saiful Naim Muhammad Noor berkata, dia tidak rasa tergugat tetapi geram dan rasa tidak adil.

"Kenapa industri muzik kita jadi begini? Kadang-kadang keluar lagu-lagu yang merepek sampai saya tertanya-tanya, apakah benda itu?

"Contohnya, saya terus terang, Ratu Farah. Itu benda apa? Bukan saya nak kutuk, tapi, apa itu? Nak rosakkan industri muzik Malaysia?

"Saya faham, jumlah tontonan dan tular di TikTok akan menyebabkan lagu itu turut tular di platform lain. Kemudian, semua stesen radio akan panggil dan mainkan lagu-lagu begitu," katanya.

Ditanya sama ada dia sudi berduet dengan Ratu Farah, Usop yang pernah menyertai program Mentor Milenia 2017 dan Big Stage menegaskan dia tidak akan sesekali bersetuju.

"Kalau dia (Ratu Farah) ajak duet, saya takkan berduet. Saya jenis orang yang akan memilih kalau kita berbicara mengenai lagu. Kalau lagu itu 'berat', saya akan tunggu dulu dan minta pengurusan cari material lain," katanya.

Katanya, proses untuk seseorang individu menjadi penyanyi pada hari ini nampaknya terlalu mudah berbanding dia dan rakan-rakan seperjuangannya.

"Sekarang ini, kita (artis) bersaing dengan TikTokers. Bukan nak cakap apa, tetapi zaman saya dulu waktu menyertai program realiti TV memang sangat susah nak jadi artis. Sekarang, saya tengok senang orang menjadi artis.

"Saya melalui proses uji bakat. Seawal jam 6 pagi, saya dah beratur dan selesai uji bakat jam 2 pagi keesokan harinya. Penat, tapi, kita boleh lihat bagaimana kualiti artis itu," katanya.

Terbaharu, Usop kini membintangi filem berjudul Mat Kola yang mengisahkan mengenai tiga jejaka dari Kuala Kedah yang berjuang untuk kehidupan mereka.

Selain Usop, filem yang akan ditayangkan pada 21 September ini turut menampilkan lakonan Rozita Che Wan, Ropie Cecupak, Taiyuddin Bakar dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 September 2023 @ 5:56 PM