Penyanyi, Diddy yang juga bekas peserta AF4.
Penyanyi, Diddy yang juga bekas peserta AF4.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi, Dr Diddy Hirdy bersetuju dengan kenyataan penyanyi kumpulan Wings, Datuk Awie yang memohon segelintir usahawan kosmetik yang menjadi penyanyi supaya tidak meruntuhkan industri seni dengan menghasilkan lagu-lagu dan corak nyanyian tidak berkualiti.

Diddy yang juga bekas peserta Akademi Fantasia musim keempat (AF4) berkata, walaupun pada awalnya dia bersetuju dengan kehadiran usahawan kosmetik menjadi penyanyi, namun disebabkan tindakan dan kontroversi yang dicetuskan membuatkan dia turut kecewa.

"Saya faham apa yang dimaksudkan Awie yang sudah 37 tahun terbabit dalam industri muzik tanah air. Nampak benar kekecewaan figura rock yang sangat dihormati ini melihat senario industri muzik semasa yang seakan diserang 'virus' seperti tiada penawarnya. Ia kadang-kadang datang menyerang mengikut musim dan agak sukar dijangka," katanya.

Diddy berkata, pada awalnya dia melihat 'trend' itu sebagai perkara biasa dan bukanlah ancaman kepada industri muzik.

"Ini kerana, usahawan kosmetik yang jadi penyanyi ini boleh diklasifikasikan sebagai penyanyi atau artis komedi di mana lagu yang mereka hasilkan hanyalah satu hiburan ringan.

"Namun, saya mula berubah fikiran apabila melihat trend ini semakin galak termasuk mencetuskan pelbagai kontroversi sehinggakan tokoh agama pun tak henti-henti memberi nasihat dan teguran. Di sini saya sangat bersetuju dengan Awie dan saya mula nampak kekecewaannya bersebab," katanya.

Menurut Diddy, dia juga mula bimbang seandainya lagu yang dikeluarkan usahawan kosmetik terus diberi perhatian dan menjadi trending akan memberi gambaran tidak elok kepada pihak luar.

Awie dalam satu temubual sebelum ini mendakwa kecewa dengan tindakan segelintir usahawan kosmetik terbabit.

Diddy berkata, penyanyi senior sudah menetapkan standard untuk industri muzik ini tetapi 'dimusnahkan' oleh golongan terbabit.

"Mereka semua dah mencipta satu sistem atau kriteria yang berkredibiliti untuk pengesahan bakat seseorang penyanyi. Saya dulu pun kena lalui proses yang agak perit apabila kena masuk bertanding di televisyen. Kena lalui proses pembelajaran dan kena belajar terima kritikan yang membina untuk membangunkan bakat. Bermakna ada proses di situ dan barulah mendapat peluang berada dalam industri muzik.

"Sayangnya zaman sekarang sudah berubah. Ada duit, kuasa, pangkat, nak jadi apa pun boleh. Itu semua pakej untuk menjadi insan yang kalis kritikan yang berasas apatah lagi kecaman liar. Adalah agak baik dan mulia untuk membendung trend yang menggila seperti ini terus berlaku," katanya.

Menurut Diddy, kemunculan usahawan kosmetik menjadi penyanyi turut akan melemahkan dan mengganggu ekosistem industri muzik dengan karya-kaya yang penuh kontroversi, membawa nilai-nilai yang bertentangan dengan nilai orang timur dan Malaysia sebagai negara Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2022 @ 5:17 PM