Ridzuan Abdul Rahman


"Kami percaya orang takkan boleh terima kerana itu sebenarnya kita nak tulis parodi kerana lagu asal adalah dari filem," kata Mohd Amirul Mohd Ridzuan, 25, pencipta kandungan dari syarikat rakaman Rusa Music mengenai muzik video lagu Sikok Bagi Duo oleh Ratu Farah Diva di YouTube yang dikecam netizen.

Amirul berkata, mereka mahu mempromosikan lagi lagu ini di Malaysia dengan versi nyanyian Upiak Isil. "Seterusnya keluar versi Tiktokers Ratu Farah Diva menggunakan melodi Upiak dan dikeluarkan sebagai muzik video rasmi.

"Memang ia sekadar kandungan di YouTube dan saluran ini kami tetapkan untuk sebarang kandungan secara rawak. Jadi memang kami letak muzik video rasmi dan disengajakan tidak letak parodi.

"Muzik video Upiak disiarkan awal tiga jam sebelum Ratu Farah Diva keluar jam 5 petang lapan hari lalu," katanya.

Amirul berkata, kedua-dua muzik video ini mempunyai kaitan kerana bertujuan mempromosi lagu di bawah terbitan mereka.

"Kiranya memang ada motif kerana kami buat untuk promosi. Jika dikata kami merosakkan industri muzik, bagi saya itu normal. Semua orang ada hak untuk menyanyi. Kami beri peluang untuk hiburkan orang kerana masing-masing dah dengar orang yang boleh menyanyi dan ada suara.

"Ini sekadar hiburan dan orang dengar pun untuk suka-suka gelak ketawa. Benda ini boleh menghiburkan dengan kandungan sebegini rupa" katanya.

Amirul mengakui jumlah tontonan muzik video nyanyian Upiak yang juga penyanyi asalnya hanya setakat 39,000 berbanding Ratu Farah Diva yang kini mencecah 360,000 tontonan.

"Itu antara sebab kami panggil Ratu Farah Diva yang sedang tular untuk tolong membantu lagu asal nyanyian Upiak. Ratu Farah Diva seorang yang rajin bertanya dan ideanya memang tak putus. Cuma kami tahu dia bukanlah boleh menyanyi.

"Cuma kita bantu apa yang perlu dan adunkan dengan teknologi. Dunia sekarang pun dah canggih dan suaranya bolehlah dibetulkan," katanya.

Menurutnya, sebagai pencipta kandungan, dia perlu sentiasa menghasilkan kandungan untuk YouTube dan TikTok bagi mempromosikan apa-apa lagu yang akan keluar.

"Kandungan yang dihasilkan mesti mempunyai isi dan kenapa orang nak tengok. Orang kecam atau tak bukan isunya. Saya dah siap sedia dari awal tahu muzik video ini akan kena kecam. Kalau buat yang biasa orang takkan tengok pula," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2022 @ 5:59 PM