AMMAR Syahid selesa dengan karya berkonsepkan ketuhanan.
AMMAR Syahid selesa dengan karya berkonsepkan ketuhanan.
Syafil Syazwan Jefri


MEMULAKAN langkah dalam bidang muzik sejak 2019, nama Ammar Syahid mungkin masih asing buat penggemar muzik tanah air.

Namun, dalam usia empat tahun perjalanan kariernya, penyanyi berusia 26 tahun ini bertatih dan melalui pelbagai pengalaman.

Pernah muncul dalam satu single bersama kumpulan Ukay pada 2020, Ammar meneruskan lagi langkahnya sebagai penyanyi solo dengan ilmu dan semangat yang ada.

Berkongsi

mengenai pengalaman, Ammar mengakui bahawa perjalanan dalam industri seni tidaklah semudah yang disangka.

"Saya bergerak secara serius dalam industri muzik sejak 2019. Sepanjang empat tahun ini, saya bersyukur dengan proses dan perjalanan saya. Nak kata terlalu okay pun, tidak juga, tapi saya bersyukur.

"Apa yang boleh saya kongsikan, perjalanan dalam industri seni ini tidaklah semudah yang saya sangka. Pada awalnya, saya sangkakan ia adalah perjalanan mudah dan mungkin akan ada keseronokan saat nama mula dikenali.

"Namun, saya terjun ke dalam bidang seni bukanlah untuk mengejar populariti, sebaliknya kerana minat saya dalam muzik. Allah kurniakan saya bakat nyanyian dan saya cuba gunakan sebaik mungkin.

"Bila dah berada dalam industri muzik, barulah saya sedar bahawa banyak onak dan duri yang perlu saya tempuh. Antara pengalaman yang saya rasa paling tidak dapat dapat dilupakan, adalah pernah ditipu. Namun, banyak pengalaman yang saya timba dari situ," katanya.

Terbaharu, Ammar hadir dengan single baharu berjudul Ujian Buatmu, menyentuh konsep ketuhanan, sesuai dengan jiwa bekas pelajar tahfiz ini.

"Single terbaharu saya, Ujian Buatmu mengisahkan mengenai perjalanan seorang manusia yang berdepan dengan ujian dan dugaan. Setiap ujian itu ditemui dengan sabar, reda dan pada masa sama, turut diiringi doa. Akhir sekali, kita akan kembalikan rasa cinta kita kepada Allah," katanya.

Menurutnya, dia sendiri tidak meletakkan sebarang genre sebagai genre spesifik dalam memacu hala tuju muziknya, sebaliknya menghayati dan menghargai setiap karya yang indah di telinga.

"Kalau berbicara mengenai genre dan hala tuju muzik yang saya minati, saya sebenarnya lebih banyak dipengaruhi

oleh muzik-muzik 'jiwang' dan 'tangkap leleh', rock, dan juga nasyid. Apa sahaja karya muzik yang enak di telinga saya, saya akan akan suka.

"Cumanya, hala tuju saya sekarang mungkin lebih ke arah lagu-lagu nasyid dan berkonsepkan ketuhanan. Ia kena dengan jiwa saya. Mungkin kerana saya sendiri membesar dalam keluarga yang menekankan didikan agama dan muzik pun, kebanyakannya adalah lagu-lagu ketuhanan.

"Saya adalah pelajar tahfiz. Jadi, lagu-lagu nasyid dan ketuhanan bukan lagi asing buat saya," katanya.

Ditanya mengenai impiannya dalam berkarya, Ammar berkongsi mengenai cita-citanya untuk bekerjasama dengan dua nama figura terkenal dalam industri muzik tanah air.

"Kalau tanya saya, ada dua nama yang saya impikan untuk berduet. Kalau ada rezeki, saya nak berduet dengan Yabang Khalifah dan juga Tomok," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Februari 2023 @ 6:30 AM