NABILA (tengah) bersama anggota kumpulan Payung Teduh.
NABILA (tengah) bersama anggota kumpulan Payung Teduh.
Ramlah Zainal


Sambutan hangat peminat ketika kolaborasi Payung Teduh dan Efek Rumah Kaca mengadakan konsert di ibu negara sekitar November tahun lalu mendorong Neptunes Presents menampilkan kembali band popular itu.

Jurucakap penganjur juga pelakon terkenal, Nabila Huda berkata menariknya Payung Teduh dan Pusakata yang kini bergabung sebagai Parade Hujan akan berkongsi pentas dengan satu lagi kumpulan dari Indonesia iaitu Sore.

Menurutnya, selain meminati kumpulan terbabit pemilihan band popular Indonesia itu juga dibuat berdasarkan permintaan peminat.

"Mereka mempunyai ramai pengikut di setiap kota di Indonesia.

"Bukan hanya saya, anak perempuan, Keisha Laila turut meminati dua kumpulan terbabit yang banyak mendendangkan lagu yang santai.

"Bahkan menurut kajian Spotify juga, Payung Teduh dan Sore mempunyai ramai peminat dan pendengar setia di Malaysia.

"Rangkaian lagu dendangan mereka juga sangat dekat dengan peminat di sini," katanya.

Tambah Nabila, kumpulan terbabit akan menjayakan Konsert Senandung Malam - Payung Teduh X Sore (Setengah Lima Menuju Senja) bakal diadakan di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 30 September depan.

"Lokasi Mega Star Arena dipilih kerana ia mampu memuatkan kapasiti 5,000 penonton dengan sistem bunyi dan pencahayaan yang terbaik," kata anak rockers terkenal, Datuk Amy Search itu.

PAYUNG Teduh. - FOTO Google
PAYUNG Teduh. - FOTO Google

SORE. - FOTO Google
SORE. - FOTO Google

Kata Nabila, sebanyak 40 peratus tiket sudah terjual pada hari pertama penjualan sejak 25 Ogos lalu. Tiket Konsert boleh didapati menerusi laman web myticketempire. Pembelian tiket secara ansuran juga ditawarkan melalui Atome.

Tambahnya, Payung Teduh dan Sore sangat berbesar hati apabila dilamar Neptunes Presents untuk berkolaborasi dengan artis dan pemuzik tanah air bagi mengiringi persembahan pada konsert berkenaan.

"Kerjasama pemuzik Indonesia dan Malaysia dalam konsert ini bakal menyajikan satu persembahan yang hebat selari dengan konsep nusantara dibawakan oleh kedua-dua kumpulan," katanya.

Mengenai persembahan, Nabila berkata, ia membabitkan penampilan tiga artis terkenal tanah air iaitu Noh Salleh, Ernie Zakri dan Atilia Haron sebagai penyanyi jemputan untuk menyemarakkan konsert berkenaan.

Untuk rekod Payuh Teduh yang pernah menjayakan persembahan di Zepp Kuala Lumpur tahun lalu dianggotai Comi Aziz Kariko selaku pemain bass, Alejandro Saksakame (dram) dan Ivan Penwyn (gitar), manakala Pusakata atau nama sebenarnya, Mohammad Istiqamah Djamad adalah bekas vokalis Payung Teduh.

Manakala, Sore pula dianggotai Ade Firza Paloh selaku vokalis dan gitar, Awan Garnida (bass/vokal) dan Bemby Gusti Pramudya (dram).

Payung Teduh popular dengan lagu seperti Akad dan Menuju Senja, manakala Sore pula terkenal dengan lagu Pergi Tanpa Pesan, Setengah Lima dan Mata Berdebu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2023 @ 6:49 AM