PENGUNDURAN Pusakata daripada kumpulan Payung Teduh untuk bersama keluarga.
PENGUNDURAN Pusakata daripada kumpulan Payung Teduh untuk bersama keluarga.
Dayang Pretty Abbyana Datu Asis


Mahu menghabiskan lebih banyak masa dengan keluarga adalah sebab penyanyi Indonesia, Pusakata berundur dari kumpulan Payung Teduh.

Pusakata atau nama sebenarnya, Mohammad Istiqamah Djamad, 39, berkata, kesibukan ketika bersama Payung Teduh sebelum ini menyebabkan dia jarang meluangkan masa bersama keluarganya.

"Kami membuat 17 hingga 22 persembahan dalam sebulan dan hanya lima hari saya pulang ke rumah. Ini membuatkan masa bersama keluarga itu terbatas.

"Kalau pulang pun hanya membawa penat saja, sampaikan isteri sudah seperti tidak mengenali saya kerana jarang berada di rumah," katanya.

Menurutnya, masa kecil anaknya adalah satu hal yang tidak akan berulang dan hanya boleh ia rindukan sekiranya dia sentiasa berada di rumah bersama keluarga.

"Saya seorang yang jarang bergaul bersama orang lain ketika di luar. Ke mana pun pergi, saya bersama anak serta isteri," katanya.

Mengulas mengenai perkembangan dirinya bersama keluarga, penyanyi itu turut berkongsi yang anaknya juga meminati bidang muzik.

"Sebenarnya saya tidak pernah menggalakkan anak untuk mengikuti jejak saya, tetapi jika mereka mahu untuk bernyanyi saya silakan saja.

"Saya tidak pernah melarang mereka (anak) untuk menceburi bidang apa pun," katanya.

Lima anaknya yang berusia tiga hingga 14 tahun juga mahir bermain alat muzik seperti piano, dram serta hebat dalam nyanyian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Jun 2023 @ 6:20 AM