Payung Teduh X Pusakata pada sidang media konsert Senandung Malam Di Zepp KL esok malam. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Payung Teduh X Pusakata pada sidang media konsert Senandung Malam Di Zepp KL esok malam. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Buat julung kali, kumpulan terkenal Indonesia, Payung Teduh dan penyanyi, Pusakata bergabung sebagai Parade Hujan mengadakan konsert di sini.

Pusakata atau nama sebenarnya Mohammad Istiqamah Djamad yang juga bekas penyanyi Payung Teduh berkata, kali terakhir mereka beraksi di Malaysia adalah pada 2017.

"Kami berterima kasih dengan Neptunes Presents kerana membuka peluang buat kami untuk kembali ke sini. Lebih istimewa, kali ini kami tampil kembali sebagai kumpulan Parade Hujan sebagai tanda pengenalan.

"Ini adalah konsert pertama dan rasmi kami sebagai Parade Hujan. Kami sentiasa menantikan peluang untuk ke sini kerana sokongan dan sambutan peminat-peminat di sini sangat luar biasa," katanya.

Parade Hujan ditemui pada sidang media Konsert Senandung Malam : Payung Teduh X Pusakata, Efek Rumah yang akan berlangsung esok, jam 8.30 malam, di Zepp, di sini anjuran Neptunes Presents.

Pusakata juga menyifatkan gabungan mereka itu menjadi titik mula bergerak sama semula selain perdamaian adalah jalan terbaik selepas masing-masing membawa haluan pada 2017 lalu.

"Saya masih ingat, pernah bercakap dengan mereka saya mahu bermain muzik dengan mereka sampai tua.

"Bila diajukan hal ini kepada mereka, ternyata mereka juga memberi kesempatan untuk saya kembali memperjuangkan muzik bersama anggota band yang lain.

"Mereka semua terbuka dengan perkara ini. Harus saya akui, jujurnya, gabungan semula ini adalah demi 'show business'. Saya percaya pada soal jodoh dan rezeki. Mungkin ini petanda baik buat kami sebagai Parade Hujan," katanya.

Tidak ketinggalan, kumpulan Efek Rumah Kaca bakal beraksi pada malam esok di konsert anjuran Neptunes Presents di bawah pengurusan pelakon Nabila Huda itu.

Payung Teduh popular dengan lagu seperti Akad dan Menuju Senja manakala Efek Rumah Kaca dengan lagu Sebelah Mata, Melulu, dan Di Udara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2022 @ 8:39 PM