Vokalis Hujan, Noh Salleh ketika menjayakan persembahan baru-baru ini.
Vokalis Hujan, Noh Salleh ketika menjayakan persembahan baru-baru ini.
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: Vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh selain dua penyanyi wanita terkenal negara, Ernie Zakri dan Atilia Haron bakal memeriahkan Konsert Senandung Malam - Payung Teduh X Sore (Setengah Lima Menuju Senja) di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada Sabtu ini.

Noh bakal tampil secara duet sebanyak dua lagu bersama kumpulan Sore menerusi lagu Musim Ujan dari album Sorealist dan satu lagi lagu masih dirahsiakan sebagai kejutan istimewa buat peminat yang hadir menyaksikan konsert terbabit.

Menurut Penganjur Neptunes Present yang juga aktres terkenal, Nabila Huda, Noh dipilih oleh kumpulan Sore kerana mereka ada pertalian dan sering berkongsi mengenai muzik sejak dulu.

"Muzik dimainkan oleh Noh juga seakan-akan sama dengan muzik kumpulan Sore.

"Selain Noh, Ernie dan Atilia juga bakal tampil sebagai artis jemputan konsert." katanya.

Nabila juga anak rockers terkenal, Datuk Amy Search berkata, selepas perbincangan Neptunes Presents dan pasukan Payung Teduh serta Sore, mereka sepakat memilih dua artis ini sebagai penyanyi undangan kerana karakter suara kena dengan tema dan lagu didendangkan pada malam konsert.

"Ernie akan mendendangkan dua lagu Payung Teduh secara duet yang tidak pernah dibawakan secara 'live' di Malaysia.

"Ernie akan berduet dengan Payung Teduh menerusi lagu Mari Bercerita dan Berdua Saja. Ia juga persembahan duet kali pertama Payung Teduh dengan artis tempatan.

"Manakala, Atilia pula diputuskan oleh kumpulan Sore sendiri. Atilia adalah artis tempatan pertama yang dipilih Sore dan dia juga bakal mendendangkan dua lagu pada malam konsert.

"Atilia juga merahsiakan lagu yang akan didendangkan kerana ia juga istimewa buat peminatnya dan Sore," katanya.

Ernie Zakri
Ernie Zakri

Mengulas penampilan artis tempatan, kata Nabila, pihaknya berharap ia akan berjaya menghangatkan lagi Konsert Senandung Malam - Payung Teduh X Sore.

Sementara itu, berkongsi jualan tiket, kata Nabila, ia juga sudah terjual hampir 50 peratus sejak hari pertama dijual pada 25 Ogos lalu.

"Jualan tiket belum mencapai tahap maksimum mungkin kerana lambakan konsert yang agak banyak.

"Justeru, Neptunes Present berharap peminat Payung Teduh dan Sore akan datang menyaksikan persembahan mereka yang mantap.

"Sore dan Payung Teduh juga akan ditemani Agal Muzik Ensemble, pemuzik orkestra tempatan bagi mewarnai persembahan pada 30 September ini," katanya.

Tiket konsert boleh didapati menerusi laman web myticketempire. Pembelian tiket secara ansuran juga ditawarkan melalui Atome.

Sebelum ini, Payung Teduh yang pernah menjayakan persembahan di Zepp Kuala Lumpur tahun lalu dianggotai Comi Aziz Kariko selaku pemain bass, Alejandro Saksakame (dram) dan Ivan Penwyn (gitar), manakala Pusakata atau nama sebenarnya, Mohammad Istiqamah Djamad adalah bekas vokalis Payung Teduh.

Payung Teduh dan Pusakata yang kini bergabung sebagai Parade Hujan. Sore pula dianggotai Ade Firza Paloh selaku vokalis dan gitar, Awan Garnida (bass/vokal) dan Bemby Gusti Pramudya (dram).

Payung Teduh popular dengan lagu seperti Akad dan Menuju Senja, manakala Sore pula terkenal dengan lagu Pergi Tanpa Pesan, Setengah Lima dan Mata Berdebu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2023 @ 1:27 PM