INGIN terus menerapkan elemen muzik tradisional atau Nusantara dalam lagu baharu.
INGIN terus menerapkan elemen muzik tradisional atau Nusantara dalam lagu baharu.

Faizal Tahir, 45, menjadi antara penyanyi yang terus mengekalkan rekod cemerlang dalam industri muzik tanah air.

Tidak hanya sebagai penyanyi semata-mata, tapi juga pencipta lagu dan penerbit muzik yang cukup disegani.

Malah, selepas beberapa karya hasil ciptaannya diangkat sebagai yang terbaik, Faizal atau nama sebenarnya Ahmad Faizal Muhammad Tahir terus menjadi idola bagi generasi baharu sama ada menerusi bidang nyanyian mahupun dunia penciptaan lagu sejak berkecimpung dalam arena muzik.

Satu kelebihan apabila setiap karya dihasilkan sarat dengan mesej berguna bukan saja untuk diri sendiri, malah buat pendengar.

Tak kira apa pun genre lagu yang ditampilkan pada setiap karya, Faizal berjaya memikat hati pendengar, sekali gus mencipta fenomena tersendiri.

Terbaharu, Faizal yang popular menerusi lagu Santai muncul menerusi single OK keluaran Faithful Music.

Lagu ciptaan Faizal dan Ezra Kong ini berniat memupuk semangat dan motivasi dalam jiwa pendengar dengan menasihatkan supaya jangan mudah putus asa dalam perjuangan hidup.

"Dunia ini penuh cabaran ditambah lagi ramai yang cuba menjatuhkan dan menyakiti kita menggunakan kata-kata. Namun, tidak perlu kita terbawa emosi untuk membalas. Boleh jawab 'no comment' saja.

"Dalam masa sama, kekal tabah dan teruskan pencarian seperti seorang pendekar berdisiplin yang tak henti-henti memperbaiki dan memperkasakan dirinya," katanya.

Uniknya lagu OK ini apabila ia mengetengahkan elemen dikir barat dalam rentak dan produksi moden, sekali gus ia kedengaran jauh berbeza daripada kebanyakan karya Faizal sebelum ini.

"Dari awal pembabitan dalam bidang seni lagi saya sentiasa ingin mencuba benda baharu. Bagi saya, versatiliti itu penting. Dalam dunia seni, versatiliti membolehkan anda bereksperimentasi dengan pelbagai aspek kreativiti," katanya.

SENTIASA mahu cuba benda baharu.
SENTIASA mahu cuba benda baharu.

Apa yang pasti, elemen muzik dan bunyi yang dipersembahkan dalam lagu OK seakan-akan memberi isyarat yang mana muzik Faizal juga berubah secara perlahan-lahan.

"Ya, saya setuju. Faktor umur dan pengalaman banyak memainkan peranan," katanya.

Sama seperti kebanyakan lagu sebelum ini antaranya Ragaman dan Santai, bait liriknya sarat dengan mesej berguna dan berunsur nasihat. Buktinya, penerimaan peminat terhadap karya sebegitu sangat bagus.

"Alhamdulillah. Itu tanggungjawab saya sebagai anak seni. Apa yang lebih penting adalah peringatan kepada diri sendiri terdahulu.

"Jadi, keunikan single ini juga adalah mesej yang ingin disampaikan. Muzik tetap muzik, kita boleh berikan pelbagai jenis yang sedap didengar, tetapi apa yang penting, mesej yang ingin disampaikan," katanya.

Selepas lagu OK yang menerapkan elemen dikir barat, Faizal berkata, dia belum terfikir untuk mengetengahkan muzik lain dalam karya lain selepas ini.

"Buat masa ni belum ada terfikir. Tapi, jika ada lagu baharu selepas ini pastinya benda yang belum pernah saya buat. Saya ingin terus menerapkan elemen muzik tradisional atau Nusantara dalam lagu baharu," katanya.

Dalam perkembangan lain, Faizal bakal menjayakan konsert solo pertamanya Aku Faizal Tahir Live In Kuala Lumpur yang dibawakan oleh Allianz Malaysia Berhad, pada 2 September depan di Dewan Merdeka, World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) jam 8.30 malam.

"Insya-Allah, lagu OK ini akan saya nyanyikan pada konsert nanti. Lagu baharu lain pula tiada. Tapi, akan ada lagu lama yang diberi nafas baharu," katanya.

LAGU OK buah tangan terbaharu Faizal.
LAGU OK buah tangan terbaharu Faizal.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2023 @ 6:45 AM