FAIZAL tampil dengan album Qibla untuk peminat.
FAIZAL tampil dengan album Qibla untuk peminat.
Norhayati Nordin


KERANCAKAN irama nasyid dan lagu kerohanian dilihat kembali menyinari pentas muzik tanah air sekitar dua tahun kebelakangan ini.

Bermula dengan Raihan yang bekerjasama dengan Alif Satar merakam semula lagu Sesungguhnya 2019, kemudian Hijjaz dan Tomok untuk lagu Sumayyah 2019.

Kesinambungan diteruskan lagi tahun lalu dengan gandingan Inteam bersama Khai Bahar menerusi lagu Setanggi Syurga 2020. Malah, Raihan dan Alif juga tampil bergabung buat kali kedua untuk lagu Damba Cintamu.

Untuk kali ini, siapa sangka peminat penyanyi dan komposer, Faizal Tahir, 43, berpeluang mendengar dan melihat semula gabungannya dengan kumpulan lama, Mirwana menerusi lagu Aku Tanpa CintaMu 2021.

Bertemu Faizal ketika majlis sidang media album baharunya berjudul Qibla baru-baru ini, dia dilihat amat gembira dan sangat bersyukur apabila percaturan berani dilakukannya untuk kerjasama itu membuahkan hasil.

"Saya bersyukur apabila satu daripada lagu dimuatkan dalam album Qibla iaitu Aku Tanpa CintaMu 2021 yang dirakam semula bersama Mirwana diterima baik pendengar. Sejak lagu dan video muziknya dilancarkan di YouTube seminggu lalu, ia masih lagi 'trending' di platform itu.

"Melihat penerimaan positif ini, saya berasakan perancangan yang kami buat adalah tepat. Sebagai pengkarya dan penerbit lagu, saya yakin strategi masa sesuai untuk melancarkan sesuatu lagu perlu diambil kira.

KERJASAMA semula, Faizal dan Mirwana rakam kembali lagu Aku Tanpa CintaMu 2021.
KERJASAMA semula, Faizal dan Mirwana rakam kembali lagu Aku Tanpa CintaMu 2021.

"Saya amat berterima kasih dengan semua anggota Mirwana iaitu Hafiz, Ikram, Naim, Faiz, Akmal dan Along kerana sudi menerima pelawaan kerjasama yang saya hulurkan," katanya.

Menurut Faizal yang berundur dari Mirwana pada 2005, hubungan dia dengan anggota kumpulan itu tetap baik selama ini walaupun perjuangan muzik mereka berbeza.

Katanya, persahabatan dijalin tidak pernah tergugat.

"Kami sudah kenal lama dan bersahabat baik sejak sama-sama belajar di universiti lagi. Cuma, apa yang berlaku dulu ketika itu pun kami masih muda dan saya pula sudah ada perancangan untuk perjuangan muzik sendiri.

"Pengunduran saya dibuat secara baik dan kami saling terus menyokong di antara satu sama lain hingga kini. Namun, agak menarik dan lebih istimewa lagi apabila sekarang, kami dapat bergabung merakam semula lagu Aku Tanpa CintaMu 2021 dan melancarkannya.

"Selepas 17 tahun, saya dan Mirwana sekali lagi merakamkan semula lagu ini bersama. Biarpun kalau ikut perancangan sebenar, kami sudah bercadang merakamkannya tiga tahun lalu. Ketika itu, saya ingat lagi Mirwana muncul menyertai pertandingan Gema Gegar Vaganza (GGV) pada 2017," katanya.

Faizal mendapati 'trend' muzik yang kembali berubah menunjukkan rata-rata pendengar masa kini mula berminat dan suka pada irama nasyid dan lagu kerohanian.

DAPAT sambutan, Faizal tak sangka video muzik lagu Aku Tanpa CintaMu 2021 ‘trending’ di YouTube.
DAPAT sambutan, Faizal tak sangka video muzik lagu Aku Tanpa CintaMu 2021 ‘trending’ di YouTube.

"Bagi saya, mungkin sekarang masanya ruang kebangkitan semula irama nasyid dan lagu kerohanian kembali menambat hati pendengar. Ia dapat dilihat jelas dengan hasil kerjasama pernah dibuat Raihan, Hijjaz dan Inteam sebelum ini bersama penyanyi lain seperti Alif, Tomok serta Khai.

"Irama nasyid dan lagu kerohanian yang mendamaikan jiwa sangat diingini pendengar ketika ini yang padat dengan mesej positif, terus bersemangat dan motivasi diri. Apatah lagi, kini seluruh negara masih berdepan ujian pandemik Covid-19," katanya.

Sepanjang aktif dalam karya muziknya, Faizal sudah dikenali menerusi lagu popular seperti Gemuruh, Assalammualaikum, Mahakarya Cinta, Kasih Tercipta, Sejati, Bisa Aja, Ragaman dan Ratu.

Latih komposer muda

Selepas berupaya memiliki syarikat rakaman, Faithful Music hasil kerja kerasnya sebagai penggiat seni, Faizal kini mula menggerakkan Faithful Publishing yang baru ditubuhkan dengan dibantu pasukannya.

Apatah lagi, selepas membuat keputusan 'berehat seketika' dalam menghasilkan lagu sendiri, Faizal mahu memberi tumpuan pada kerja belakang tabir untuk mencari pelapis dan bakat baharu dalam bidang komposisi serta penerbitan lagu.

"Industri muzik semakin berkembang pesat dan kini adalah masanya untuk membantu golongan generasi muda berbakat tampil mengetengahkan karya mereka. Inilah tanggungjawab cuba digalas Faithful Publishing.

"Saya sendiri dapati dalam industri muzik kita memang ada ramai bakat muda yang berpotensi. Disebabkan itu wajar untuk saya bersama pasukan membantu mereka. Bakat dalam penciptaan lagu, perlu dilatih dan diasah.

"Malah, untuk mencapai kejayaan kena ada usaha. Memandangkan selepas Aidilfitri ini, saya sudah berehat untuk tumpuan masa pada keluarga, maka urusan kerja di belakang tabir boleh juga diberi perhatian," katanya.

Menurut Faizal, sebagai buah tangan terakhir daripadanya untuk peminat adalah album Qibla. Ia boleh didapati secara 'box set' yang dijual secara dalam talian dengan harga berpatutan. Turut disertakan beberapa cenderahati istimewa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 April 2021 @ 6:40 AM