DEMI semarakkan sambutan Hari Malaysia lagu Malaysia Negaraku dihasilkan fokus kepada aspek perpaduan.
DEMI semarakkan sambutan Hari Malaysia lagu Malaysia Negaraku dihasilkan fokus kepada aspek perpaduan.
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


Setiap kali sambutan Hari Malaysia, sudah menjadi kewajiban untuk penghasilan karya-karya patriotik. Ia adalah satu elemen penting dalam menaikkan semangat kemerdekaan di hati rakyat Malaysia.

Sebut saja lagu Tanggal 31 Ogos, Warisan, Keranamu Malaysia dan banyak lagi deretan senarai lagu patriotik ini, ia sentiasa menjentik emosi untuk kita berbangga menjadi anak Malaysia.

Tidak mahu ketinggalan, sebuah lagi lagu berjudul Malaysia Negaraku dihasilkan Ratna K Nadarajan selaku penerbit demi menyemarakkan sambutan Hari Malaysia kali ini. Ia turut menampilkan nyanyian bakat-bakat muda tanahair.

Seiring dipersembahkan artis generasi baharu, lagu itu berkisar kepelbagaian dalam negara kita yang penuh harmoni. Bahkan, lirik serta melodinya diberi sentuhan begitu indah.

Dinyanyikan Fara Dolhadi, penyanyi hip-hop Bobby D, penyanyi hip-hop Kungfu Heidi, penyanyi rap Syahjacker dan kumpulan muzik, Sayfire, gandingan terbabit semestinya cukup segar.

Malah, diyakini ada formula tertentu yang membuatkan sesebuah lagu patriotik itu kekal di hati pendengar dan terus menerus menjadi pengisi Hari Malaysia setiap tahun.

Menurut Ratna yang juga dari Mojo Projects, kekuatan utama penghasilan sesuatu lagu patriotik itu adalah pada bahasa dan perkataan yang digunakan.

"Pertama sekali, kita cerita mengenai bahasa dan perkataan yang digunakan. Kadang-kadang, ia adalah rangkuman perkataan yang mudah namun penuh dengan nilai semangat.

LAGU Malaysia Negaraku didendangkan bakat-bakat baharu tanah air.
LAGU Malaysia Negaraku didendangkan bakat-bakat baharu tanah air.

"Contohnya, lagu Gemuruh yang dipopularkan Faizal Tahir. Liriknya ringkas dan mudah, tetapi kalau kita benar-benar amati, mesej dan jiwanya akan sampai kepada kita," katanya.

Bersama komposer tempatan MC Bullet, Ratna menerbitkan lagu patriotik Malaysia Negaraku ini dengan memfokuskan kepada aspek perpaduan.

Menurut MC Bullet yang juga pemilik Monsta Village Entertainment pula, kunci utama dalam lagu itu adalah nilai sentimental keharmonian pelbagai kaum di Malaysia.

"Kata-kata yang digunakan dalam lirik haruslah mudah disebut dan difahami. Ia supaya dapat menyentuh jiwa semua lapisan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum.

"Selain itu, kekuatan lagu Malaysia Negaraku juga terletak pada melodinya yang kuat dan senang 'menangkap' jiwa pendengar," katanya.

Video muzik untuk Malaysia Negaraku turut diarahkan Ratna dan dihasilkan oleh Bullet. Mereka bekerja keras tampil dengan sebuah karya serta visual yang mampu diingati sampai bila-bila.

Menariknya, mereka menggunakan pendekatan sinematografi lebih vintaj. Ia bagi menggambarkan betapa jauh perjalanan serta Malaysia sememangnya kaya dengan semangat patriotisme.

"Sewaktu pembikinan muzik video itu, kami memastikan segala prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi dengan baik," katanya.

Ratna dan MC Bullet berharap lagu itu mampu unggul sebaris lagu-lagu partriotik yang lain.

"Semoga ia terus kekal berkumandang setiap tahun, bagi mengisi ruang untuk kita semua meraikan Hari Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 6:14 AM