Qistina Raisah, ketika Sidang Media Filem Rahsia di Dadi Cinema, Pavillion Bukit Bintang. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Qistina Raisah, ketika Sidang Media Filem Rahsia di Dadi Cinema, Pavillion Bukit Bintang. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur : Pelakon remaja, Qistina Raisah, 15, terpaksa 'melupakan' alam persekolahan demi melunaskan tanggungjawab dan tugasnya sebagai pelakon.

Qistina berkata, sejak berusia tujuh tahun dia bersekolah di rumah (home school) kerana sudah berlakon sejak kanak-kanak.

"Saya pernah ke sekolah, tetapi selama 10 hari saja. Jadi, saya memang tak ada pengalaman duduk di kantin sekolah dan sebagainya. Dulu, sewaktu zaman kanak-kanak, saya banyak berlakon drama untuk saluran Astro Ceria," katanya.

Qistina berkata, dia pernah cuba untuk mendaftar masuk ke sekolah semula ketika di tahun enam, tetapi lebih selesa untuk meneruskan dengan 'homeschool'.

"Saya pernah cuba untuk masuk semula ke sekolah ketika tahun enam bagi menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), tetapi tak dapat sebab ketika itu PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) pula.

"Tiba-tiba juga, saya dapat tawaran berlakon dan perlu berada di Itali. Jadi, sekarang saya belajar di rumah. Selain mata pelajaran asas, saya belajar gitar dan Bahasa Mandarin. Insya-Allah, saya nak daftar kelas menembak untuk saya gunakan skil itu dalam karier lakonan saya," katanya.

Ditanya pendapatnya mengenai kepentingan akademik, Qistina berkata, dia sedar bahawa rezekinya sudah ditetapkan oleh Allah.

"Ketika kanak-kanak, pernah juga saya luahkan kepada ibu saya mengenai impian saya nak sambung belajar ke luar negara. Tapi, apabila sudah meningkat usia, saya fikir bahawa Tuhan sudah tulis tanggungjawab saya adalah seperti sekarang.

"Semua orang ada rezeki berbeza. Saya anggap rezeki saya sudah disusun begini, jadi, saya bersyukur. Ada yang dah belajar tinggi-tinggi, tapi susah nak berjaya. Saya dah dapat bina nama dan karier di sini, jadi saya teruskan saja," katanya.

Terbaharu, Qistina bakal muncul menerusi filem seram, Rahsia yang akan ditayangkan pada 10 Ogos ini.

Selain Qistina, filem arahan Shamyl Othman itu turut dibintangi Nabila Huda, Fikry Ibrahim, Eman Manan dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Julai 2023 @ 5:22 PM