Qistina Raisah
Qistina Raisah
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Pelakon remaja, Qistina Raisah berang apabila gambarnya bersama seorang lelaki yang jauh lebih berusia mengundang pelbagai reaksi dan komen negatif dikalangan wargamaya.

Qistina tampil menegaskan lelaki berusia 26 tahun itu adalah abang kandungnya dan meminta netizen untuk selidik dahulu sebelum melontarkan kata-kata nista.

"Saya hendak bercakap sedikit mengenai isu yang viral apabila saya memuat naik gambar bersama Henry. Ada yang kata tidak sesuai, jauh beza, tidak kena dan macam-macam lagi.

"Sehinggakan ada yang hendak berjumpa di mahkamah kerana saya bawah umur. Tetapi, untuk apa? Hanya kerana saya bergambar dengan abang kandung saya sendiri ke?

"Saya tidak marah kepada semua netizen, cuma kenyataan saya ini ditujukan buat netizen yang kurang bijak," katanya.

Menerusi video penjelasannya di TikTok, pelakon berusia 14 tahun itu juga meminta netizen untuk membuat kaji selidik dan menyiasat sebelum melemparkan tuduhan.

"Jika diselidik dan lihat akaun Henry, pasti akan nampak video dan gambar kami beraya bersama-sama. Jadi apabila sudah beraya bersama, pastinya dia adalah abang saya.

"Sebelum menghentam atau menuduh, lebih baik usul periksa. Yang lebih menyedihkan, mereka bersifat begitu adalah lebih berumur daripada saya.

"Tidak faham, kenapa salah pula saya hendak bergambar dengan abang sendiri. Janganlah jaga tepi kain orang sangat, 'stress' hidup ini kadang-kadang," katanya.

Terdahulu, Qistina pernah dikecam gara-gara dipercayai menjalinkan hubungan cinta dengan lelaki yang lebih dewasa.

Malah, ada juga netizen mempersoalkan usia Qistina yang baru saja berumur belasan tahun, namun, bercinta dengan lelaki dewasa yang dianggap seperti pedofilia.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Disember 2022 @ 12:18 PM