Pelakon remaja, Qistina Raisah
Pelakon remaja, Qistina Raisah
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Pelakon remaja, Qistina Raisah, 14, menyangkal dakwaan segelintir netizen yang mengatakan dia cuba untuk menjadi dewasa lebih awal daripada usianya.

Qistina atau nama sebenarnya, Nur Qistina Raisah Mohd Kamarol Azri yang menjadi perhatian netizen di TikTok berkata, sebagai pelakon yang mula berlakon ketika berusia tiga tahun, dia sudah terdedah dengan mekap (solekan) sejak kecil.

"Apa yang dikongsi dalam video di TikTok itu sebab saya memang suka mekap. Saya suka dengan penampilan imej diri yang cantik kerana sesuai dengan tanggungjawab dipilih menjadi duta produk untuk satu jenama produk kosmetik.

"Bagi saya, apa yang dibuat itu (memakai mekap) wajar kerana salah satu pekerjaan yang menyumbang kepada rezeki saya. Lagipun, saya memang dah cuba sendiri dan menggunakan produk kosmetik berkenaan.

"Ia sama sekali, tidak bermaksud saya 'try hard' nak jadi dewasa cepat. Saya suka mekap, suka cantik dan sebab itu penampilan saya mungkin nampak matang dari usia sebenar. Tak apalah, sebab di lokasi penggambaran pun saya berkawan dengan pelakon yang lebih berusia," katanya.

Ditanya juga sama ada dia terkesan dengan kecaman dan kritikan pedas netizen, Qistina berkata, tipulah kalau dia langsung tidak terasa hati atau terguris.

Katanya, ada kala memang terluka juga dengan kecaman pedas yang dilemparkan.

"Ibu saya selalu memberikan kata-kata positif untuk saya tidak berasa patah semangat dengan kecaman-kecaman itu. Biarlah apa yang mereka (netizen) nak cakap, kerana susah payah kita bukan orang tahu pun.

"Kita susah ke, sedih ke, hanya keluarga yang tahu. Malah, setiap video atau foto yang saya kongsi di media sosial, semuanya sudah ditapis dulu oleh ibu saya. Jadi, apa yang dikongsikan itu sudah mendapat izin," katanya.

Qistina berkata, dia juga pergi ke mana-mana sentiasa ditemani ibunya. Apa saja tindakan dilakukannya tidak membelakangkan dan tanpa pengetahuan ibu bapa serta keluarga.

Antara drama lakonan Qistina Raisah seperti Papa Ricky, Lafazkan Kalimah Cintamu, Demi Cinta Ain, Baby Bro!, Azam Ramadan Su, 3 Campur 2, Geng UPSR dan banyak lagi.

Dia juga pernah membintangi Kelibat pada 2014, Upin & Ipin: Jeng Jeng Jeng! (2016), Rise: Ini Kalilah (2018) dan Felina (2019).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2022 @ 3:02 PM