Eizlan Yusof
Eizlan Yusof
Ridzuan Abdul Rahman


 

Kuala Lumpur: Pelakon dan pengarah, Datuk Seri Eizlan Yusof, 51, melahirkan perasaan terkejut apabila agensi Tiktok miliknya, Vibes International Agency (VIA) yang dilancarkan di Indonesia pada 6 Julai lalu menerima sambutan hebat dari warga Tiktok di sana. 

Menurutnya, agensi yang ditubuhkan pada April lalu, berada dibawah naungan Kami Sempoi International Agency diasaskan oleh To Chin Swee atau lebih dikenali sebagai Pakcik Chin Swee.

"Sehingga kini, VIA berjaya mendapat sambutan lebih 170,000 pengikut di laman sosial rasmi selain hampir 1 juta tontonan pada kandungan yang dimuat naik.

"Bayangkan dalam tempoh kurang seminggu dilancarkan di negara itu, sambutan diterima kami sangat menggalakkan," katanya.

Pengurusan VIA di Indonesia dikendalikan pengurus warga tempatan, Kusno Giwantoro yang bertanggung jawab dalam mengendalikan bakat di sana.

Eizlan berkata, sambutan memberangsangkan itu membakar semangatnya untuk terus meletakkan agensi Tiktok miliknya di peringkat antarabangsa.

"Selepas Singapura dan Indonesia, kami mensasarkan negara Thailand dan Filipina pula, kemudian menembusi negara-negara selain Asia Tenggara sekali gus meletakkan VIA sebuah agensi Tik Tok bertaraf antarabangsa yang membanggakan Malaysia," katanya.

Selain Eizlan, turut bersama VIA ialah Datuk Fyzal Fauzy, Datin Edriaty Idrus, Azri Abbas (Bossklan Agency) dan Muhammad Syukri Suhaimi (Pengurus Besar Kami Sempoi International Agency).

Agensi ini memainkan peranan sebagai satu organisasi yang mengawal selia dan mempromosikan Tik Tok Live di platform Tik Tok selain bertanggungjawab memberikan latihan serta menggalakkan penggunanya untuk menceburkan diri sebagai pengacara siaran langsung Tik Tok.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Julai 2023 @ 6:58 PM