GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

New York: Aplikasi perkongsian video popular Tik Tok tidak akan dibenarkan pada peranti rasmi yang digunakan oleh Dewan Perwakilan dan kakitangan kerajaan, menurut Ketua Pejabat Pentadbiran Amerika Syarikat (AS).

"Pejabat Keselamatan Siber menganggap aplikasi mudah alih Tik Tok berisiko tinggi kepada pengguna disebabkan beberapa ciri keselamatannya.

"Jika anda mempunyai aplikasi Tik Tok pada peranti mudah alih bagi kegunaan rasmi, anda akan dihubungi bagi mengalih keluar aplikasi berkenaan," menurut pejabat berkenaan dalam emel yang dihantar kepada Ahli Dewan Perwakilan dan kakitangan pada Selasa.

Pegawai AS pada bulan lalu memberi amaran bahawa data yang dikumpul pada aplikasi itu boleh "digunakan secara salah", lapor Agensi Anadolu.

Rang undang-undang perbelanjaan US$1.7 trilion (kira-kira RM7.53 trilion) yang diluluskan oleh Senat minggu lalu juga mentakrifkan larangan menggunakan Tik Tok pada hampir semua peranti kerajaan di AS.

Setelah ditandatangani menjadi undang-undang, larangan itu bakal meliputi hampir semua agensi kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Disember 2022 @ 11:39 AM