RIEZMAN ajak masyarakat jana pendapatan menggunakan TikTok.
RIEZMAN ajak masyarakat jana pendapatan menggunakan TikTok.
Syafil Syazwan Jefri


Bergelar anak seni tidak hanya terhad kepada dunia lakonan semata-mata, tetapi turut membuka peluang dan ruang untuk pelakon, Riezman Khuzaimi meneroka pelbagai cabang baru.

Antaranya, Riezman juga kini bergerak aktif sebagai TikToker, yang mana menggalas tanggungjawab sebagai pengacara rasmi dan dilantik menjadi duta agensi TikTok antarabangsa, Kamisempoi.

"Sebelum ini, saya hanya pengacara rasmi (official host) untuk Kamisempoi. Kemudian pada tahun lalu, mereka beri peluang saya membuka agensi dan dari situ, saya menggunakan sub-agensi itu bagi mencari pengacara rasmi.

"Sekarang saya ada kira-kira 42 pengacara dan 20 daripadanya adalah artis. Pada tahun ini, saya dilantik sebagai duta Kamisempoi.

"Tugasnya adalah memasarkan agensi ini kepada orang awam dan kongsikan maklumat mengenai manfaat menjadi pengacara rasmi di bawah agensi ini," katanya.

Menurut Riezman, dia meletakkan matlamat untuk membantu masyarakat dan rakan artis supaya mencari sumber mata pencarian alternatif buat mereka.

"Antaranya, menjana pendapatan. Jadi, apabila saya jadi jurucakap, orang ada lebih kepercayaan. Sepatutnya, dulu mereka nak gabungkan saya dengan Datuk Seri Eizlan Yusof.

"Tapi, sekarang dia dah aktif politik, jadi mungkin tak sesuai dengan suasana media sosial ini. Jadi, saya berjalan sendiri dan membantu pengasas agensi ini, Pakcik Chin Swee untuk merekrut lebih ramai pengguna TikTok lain.

"Untuk tahun ini, Insya-Allah saya akan bantu mereka sebab mereka rancang adakan siri jelajah pusing satu Malaysia. Dia nampak dalam siaran langsung saya, ramai yang menonton dan ramai daripada mereka bukan orang Kuala Lumpur.

"Mungkin peminat daripada drama dan filem. Jadi, sekarang saya baru berikan idea memandangkan ramai yang minat saya memasak, jadi kami akan pusing satu Malaysia dan akan memasak. Kemudian kami kongsikan makanan dengan mereka," katanya.

Riezman menegaskan, TikToker yang beretika perlu mewujudkan kandungan bermanfaat dan tidak meminta-minta supaya tidak dilabel seperti mengemis sedekah.

"Saya sendiri pun terasa. Saya berhenti sekejap daripada bersiaran langsung pada tahun lalu selepas saya kena 'slip disc'. Saya kaji semula. Bukan kerana orang bercakap, tapi rasa tak seronok bila orang berikan hadiah walaupun kita tak minta.

"Ada juga TikToker yang mengambil kesempatan, memang terus meminta-minta. Kita fikir, orang-orang (penonton) ini bekerja, cari duit, dapat gaji cukup bulan, beli 'coin' dan beri. Itu dari sudut pemberi.

"Yang menerima, terima tanpa ada buat apa-apa. Jadi, bila saya ada sub-agensi, saya galakkan pengacara ini supaya cipta kandungan dan jangan suka-suka.

"Jangan harapkan orang memberi sebab tak elok. Kalau benda itu berterusan, TikTok ini dah tak ada kebaikan dan orang akan berikan persepsi," katanya.

Menurutnya, sikap sebegini banyak berlaku dalam kalangan TikToker di luar negara, sekali gus mewujudkan persepsi negatif terhadap pengguna platform ini.

"Kami ada sebut, masuk TikTok menjana pendapatan, tapi jangan mengemis. Di luar negara, ramai yang contohnya gunakan anak kecil, balut kepala, cakap anak sakit dan orang bagi hadiah dan wang.

"Di Malaysia, peraturannya ketat. Dari situ kami mendidik supaya mereka jana pendapatan berkat dan bukan minta sedekah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2024 @ 6:30 AM