Redzuan Muharam


Kepala Batas: Kesempitan hidup masyarakat termasuk golongan bukan B40 ketika tempoh pandemik Covid-19 mendorong Muhammad Hanif Kamal menjalankan inisiatif #KotakBahagia.

Muhammad Hanif, 27, yang juga bapa tiga anak berkata, inisiatif itu bermula sejak Ramadan tahun lalu dengan dana untuk membeli barangan makanan asas diperoleh daripada sumbangan orang ramai.

Menariknya, inisiatif itu diperluaskan di TikTok miliknya, @hanif_simple_humble dan pengikut boleh membantu dengan menghadiahkan 'gift' yang nanti akan ditukar dalam bentuk wang.

Katanya, wang itu akan digunakan untuk membeli barangan makanan asas dan disampaikan kepada penerima secara langsung menerusi TikTok LIVE bagi meyakinkan pengikutnya di platform itu bahawa dana disalurkan tidak disalah guna.

"Inisiatif ini digerakkan saya sendiri secara solo kerana bersimpati melihat rakan yang terkesan dengan Covid-19 hingga ada yang dibuang kerja dan berlapar.

"Sebenarnya, saya pernah menyertai program kebajikan anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di kampus dan Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia yang kini dikenali sebagai MyFundAction.

MUHAMMAD Hanif Kamal menggerakkan inisiatif #KotakBahagia bagi membantu mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19. FOTO Ihsan MUHAMMAD HANIF KAMAL
MUHAMMAD Hanif Kamal menggerakkan inisiatif #KotakBahagia bagi membantu mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19. FOTO Ihsan MUHAMMAD HANIF KAMAL

"Alhamdulillah, dengan pengalaman itu membantu saya memulakan program kebajikan ini membabitkan kutipan dana dan agihan sumbangan secara langsung.

"Lagipun, selepas berkahwin agak sukar untuk beri komitmen turun padang jadi terhasil idea memperluaskan inisiatif ini secara dalam talian.

"Idea tercetus secara spontan apabila terlintas di fikiran jika saya boleh jual makanan menerusi dalam talian jadi mengapa tidak gunakan pendekatan sama dalam hal kebajikan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Muhammad Hanif berkata, #KotakBahagia mendapat sokongan penuh daripada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Juara Care yang bersetuju menjadikannya sebagai program utama selain beberapa masjid dan pusat tahfiz untuk melaksanakan program dengan meluas.

Muhammad Hanif yang menetap di Bertam berkata sasaran inisiatifnya itu adalah untuk membantu mereka yang terputus bekalan makanan asas dan terdesak meneruskan kehidupan tanpa mengambil kira kaum, agama atau pekerjaan sebelum terkesan pandemik Covid-19.

Menurutnya, ada juga di antara penerima bantuan terdiri daripada golongan profesional yang sebelum ini bergaji lumayan tetapi tersepit kerana hilang pekerjaan akibat pandemik.

"Alhamdulillah, seramai 22,000 individu sudah menerima manfaat #KotakBahagia. Pemohon hanya perlu mengimbas kod QR diberi kemudian mengisi borang dan tunjukkan bukti seperti gambar juga video yang menunjukkan mereka memerlukan bantuan.

"Pasukan #KotakBahagia sebelum ini pernah terbabit dengan NGO dan dan program kebajikan jadi kami dapat mengenal pasti mereka yang cuba mengambil kesempatan," katanya katanya yang juga ahli Sempoi International TikTok Agency iaitu kumpulan individu aktif membuat Live di TikTok.

Kumpulan itu melaksanakan program kebajikan sempena Ramadan daripada hasil pendapatan ahli sukarela yang menjalankan TikTok Live.

Muhammad Hanif berkata, biarpun baru sebulan aktif bersiaran langsung di TikTok LIVE, sambutan diterima amat menggalakkan malah kutipan dana utk program #KotakBahagia meningkat 11 kali ganda sejak menggunakan platform berkenaan.

Katanya, antara faktor meningkat sumbangan secara mendadak ini adalah platform TikTok yang memudahkan orang ramai untuk bersedekah hanya dengan satu klik saja tanpa perlu menunggu nombor Kod Pengesahan Transaksi (TAC).

"Cabaran ketika mula menggerakkan inisiatif ini dulu adalah kesukaran mendapat kepercayaan orang ramai utk bersedekah mungkin disebabkan baru ditubuhkan.

"Bermula dengan kutipan RM7 untuk minggu pertama dan rekod tertinggi setakat ini adalah RM2,600 dalam satu sesi siaran langsung yang diadakan sewaktu kami buka peluang untuk sedekah makanan di Tanah Suci.

"Salah satu pengalaman tidak dapat saya lupakan adalah apabila dapat memberi sesi kaunseling kepada seorang wanita yang asalnya mahu berpisah dengan suaminya kerana kesempitan wang tetapi batalkan niat selepas didorong untuk menjalankan perniagaan dalam talian," katanya.

Muhammad Hanif menghargai dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang menyokong inisiatif #KotakBahagia sejak awal hingga kini.

"Sokongan itu memberi galakan kepada saya dan pasukan untuk meneruskan lagi inisiatif dengan pengisian menarik antaranya melancarkan tempat persinggahan seperti kawasan Rehat dan Rawat (R&R) #KotakBahagia di setiap negeri.

"Ia akan bermula di Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Melaka dengan diwujudkan bagi memudahkan mereka yang terdesak mendapatkan bantuan makanan asas," katanya yang turut melancarkan program #1month1quran bacaan al-Quran 30 juzuk setiap bulan secara LIVE di tiktok selain mewujudkan tabung sedekah untuk orang berbuka puasa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 April 2022 @ 7:45 PM