SHUIB dan Watie.
SHUIB dan Watie.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Pelawak dan penyampai radio, Shuib, 39, tidak menafikan isu Freemason yang dikaitkan dengannya oleh segelintir warga maya mungkin berpunca daripada foto ketika mempromosikan jenama barangan kemas, baru-baru ini.

Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhammad ditemui berkata dia dan isterinya, Watie Hanifiah yang terbabit sama dalam fotografi itu diminta oleh jurugambar bergaya dengan tangan wenutupi sebahagian wajah bagi memperagakan cincin.

"Saya dan Watie mendapat tajaan daripada satu jenama barangan kemas tempatan untuk majlis perkahwinan kami yang berlangsung Jun lalu. Jadi, untuk itu kami kenalah buat fotografi bagi mempromosikan cincin.

"Ketika sesi fotografi berlangsung, jurugambar ada minta kami bergaya dengan tangan menutupi sebahagian wajah bagi memperagakan cincin itu dan tanpa  fikir apa-apa, kami ikut saja kerana tujuannya mempromosi produk.

"Tapi, lain pula tanggapan golongan tertentu pada foto itu sehingga ia menjadi bahan yang mendakwa saya ahli Freemason. Saya sebenarnya dah boleh agak akan timbulnya isu sebegini, namun saya memang tak ada kena-mengena langsung dengan Freemason seperti didakwa.

"Jadi, apabila orang menuduh saya sebagai ahli Freemason itu sangat mengarut. Apa buktinya? Saya pun bukan tahu tentang organisasi itu dan macam mana nak sertai," katanya pada sesi pertemuan dengan 'pemfitnah', Zulhairi Abu Othman, 35, di cawangan premis perniagaannya di sini, semalam.

Menerusi perjumpaan selama satu jam itu, Shuib bertindak memaafkan Zulhairi di atas kekhilafan dilakukan lelaki itu kerana beranggapan pekerja swasta berkenaan berani dan ikhlas mengakui kesilapanya, termasuk menyesal dengan apa yang dilalukan.

Bapa empat anak ini berkata, dia memang terkilan dan berasa marah  apabila turut dituduh oleh individu tidak bertanggungjawab terbabit sebagai punca menyebabkan Allahyarham isterinya, Siti Sarah Raissuddin ditidurkan dan meninggal dunia akibat Covid-19, dua tahun lalu.

"Saya dituduh sebagai ahli Freemason itu, okaylah boleh tenang lagi dan buat tak layan. Tapi, apabila terbaca pula komen-komen yang mereka kaitkan dengan arwah, Siti Sarah, isteri saya itu sangat melampau.

"Saya fikir tak boleh berdiam diri lagi dan perlu ambil tindakan undang-undang kepada mereka yang terbabit sebagai pengajaran. Fitnah dibuat itu terlalu melampau untuk saya dan keluarga," katanya.

Shuib berkata, dia tidak akan berkompromi lagi dengan mana-mana pihak yang memfitnahnya selepas ini dan bertegas untuk mengheret mereka ke mahkamah kerana emosinya sangat terganggu.

Jelasnya lagi, apa saja cerita dan dakwaan yang membabitkan arwah Siti Sarah, ia adalah satu perkara yang sensitif baginya. Katanya, arwah adalah wanita yang dicintai, isteri dan ibu kepada cahaya mata mereka.

Pada 23 Jun lalu, Shuib bagaimanapun selamat mendirikan rumah tangga kali kedua dengan Watie.

Hasil perkongsian hidup dengan arwah Siti Sarah, mereka dikurniakan anak iaitu Uwais Alqarni, 12, Dzahira Talita Zahra, 10, Ariq Matin, 8, dan Ayash Affan, 2.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Julai 2023 @ 11:15 AM