Rohana Jalil
Rohana Jalil
Ridzuan Abdul Rahman

 

Kuala Lumpur: "Dia lemah tapi stabil. Namun kondisinya tidak okey. Kuman dah serang organ-organ utama, buah pinggang dan paru-paru sekali gus mengganggu jantung. 

"Rohana tidak lagi ditempatkan di wad 

Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kini berada di wad biasa bagi memudahkan untuk rawatan,". 

Demikian kata Pengurus Peribadi penyanyi Rohana Jalil iaitu Suzie atau Jepun berkenaan perkembangan terkini penyanyi terkenal era 80-an ini. 

Menurutnya, Rohana atau nama sebenarnya, Dara Abd Jalil, 68, yang kini dirawat di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akibat kebocoran usus, masih memerlukan pemantauan pakar. 

"Sekarang ini doktor hentikan penggunaan mesin rawatan sebab dah tidak boleh nak buat apa-apa. Bukan sengaja mereka nak hentikan dan ada sebab kena hentikan.

"Dia juga tidak boleh makan dan minum serta hanya bergantung kepada antibiotik untuk sembuhkan ususnya yang bocor," katanya kepada Harian Metro. 

Suzie turut meminta peminat mendoakan yang terbaik serta memohon dipermudahkan urusan penyanyi terbabit.  

Terdahulu, Rohana yang popular menerusi lagu Rayuanku dimasukkan ke hospital sejak 18 April lalu akibat kebocoran usus. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Jun 2023 @ 11:32 AM