Rohana Jalil
Rohana Jalil

Kuala Lumpur : "Kalau Kak Ana meninggal tanam di sini, nanti Isma datang sedekah al-Fatihah untuk Kak Ana tau."

Ini yang dikongsi penyanyi, Ismaliza Ismail, 43, di Instagram mengenai pemergian penyanyi popular era 1980-an, Rohana Jalil.

Ismaliza menerusi media sosial itu menulis mengenai detik dia bersama Allahyarham yang seolah-olah memberi bayangan akan pergi buat selama-lamanya.

Katanya, ketika balik dari kursus pengurusan jenazah bersama Rohana, Allahyarham meminta Isma melalui satu kawasan perkuburan.

Menurut Ismaliza, Rohana berkata jika dia meninggal dunia, dia mahu dikebumikan di situ dan meminta Ismaliza datang sedekahkan bacaan surah al-Fatihah.

"Semoga Allah ampunkan segala dosa arwah, Semoga Allah terima segala amalan dan mengangkat darjat di sisi-Nya.

"Semoga pemergian beliau menjadi kerehatan sebenar dari urusan dunia. Moga dilindungi dari seksa kubur dan ditempatkan di kalangan solihin," tulisnya.

Allahyarham meninggal dunia di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) jam 11.33 malam tadi.

Rohana sudah dimasukkan ke hospital berkenaan sejak dua bulan lalu akibat kebocoran usus.

Kebocoran usus dialami menyebabkan kuman sudah merebak ke beberapa organ utama seperti paru-paru dan buah pinggang.

Rohana yang juga juara Bintang RTM pada 1980 memiliki lebih 20 album termasuk album kompilasi. Antara lagu popularnya Rayuan Ku, Resah Ku, Kerana Dia Kita Terpisah, Faez dan Jauh Terkenang.

Allahyarham meninggalkan suami, Jahangir Khan dan tiga cahaya mata perempuan. Anak bongsunya, Syakila Nisa atau lebih dikenali dengan Kilafairy turut mengikut jejak langkahnya menjadi penyanyi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Jun 2023 @ 12:45 PM