Persembahan Akim dan Stacy pada konsert Karnival Jom Heboh Johor. Foto Saifullizan Tamadi
Persembahan Akim dan Stacy pada konsert Karnival Jom Heboh Johor. Foto Saifullizan Tamadi
Minda Ranggong


Kuala Lumpur: Lebih 350,000 pengunjung bukan sahaja warga Johor, Melaka, Negeri Sembilan, malahan negara jiran, Singapura turut membanjiri pekarangan Angsana Johor Bahru Mall sempena Karnival Jom Heboh (KJH) Johor yang diadakan dari Jumaat hingga Ahad lalu.

Walaupun hujan renyai pada hari kedua dan ketiga, ia tidak menghalang pengunjung untuk sama-sama memeriahkan acara kemuncak iaitu Konsert Jom Heboh.

Kemunculan penyanyi hebat tanah air antaranya Wany Hasrita, Shiha Zikir, Sofazr, Kmy Kmo, Stacy, Nabila Razali, Zizi Kirana, Akim Ahmad, Naim Daniel, Estranged dan banyak lagi mendapat sambutan yang menggalakkan.

Pada hari kedua, KJH turut dikunjungi oleh tetamu kehormat dan pegawai daripada pelbagai jabatan dan agensi termasuk kakitangan dan barisan pengurusan kanan Media Prima.

Pertandingan Tarian Zapin Kreatif dan Pertandingan Kostum Tradisional yang dianjurkan oleh Studio Tonton Drama Sangat (STDS) menjadi tumpuan ramai sekali gus mempromosikan keunikan tradisi budaya seni Negeri Johor.

Pertandingan Tarian Zapin Kreatif dijuarai oleh Kumpulan Gemalai Tari Majidi Cilik sementara Pertandingan Kostum Tradisional dimenangi oleh Cinta Suci Indah Purmila. Pemenang bagi pertandingan ini masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM3,000 dan RM300.

Persembahan cosplay pada Karnival Jom Heboh Johor. Foto Saifullizan Tamadi
Persembahan cosplay pada Karnival Jom Heboh Johor. Foto Saifullizan Tamadi

Sepanjang KJH diadakan, pengunjung berpeluang beramah mesra bersama barisan pelakon segmen Samarinda, Lestari dan Segmen Akasia seperti Afifah Nasir, Ummi Nazeera, Sherry Ibrahim, Wani Kayrie, Wanna Ali, Ahmad Idham serta Sharifah Sakinah daripada segmen Tonton.

Manakala STDS turut menampilkan selebriti daripada program realiti masakan popular iaitu Dapur Tempur Selebriti seperti Cef Naem, Michael Ang, Achey dan ramai lagi.

Aktiviti yang paling heboh pada hari terakhir KJH Johor ini adalah Sukaneka Janji Happy yang dianjurkan oleh TV9. STDS dipenuhi oleh gelak ketawa melihat gelagat artis seperti Chef Naem, Achey, Michael Ang, Wanns Ahmad, Umi Nazeera dan Ziha Salleh berinteraksi bersama pengunjung.

Pengunjung yang sudi meluangkan masa serta tenaga bersama-sama menjayakan acara Sukaneka Janji Happy menerima pelbagai hadiah Misteri dari TV9.

Selain membawakan selebriti ternama tanah air, KJH Johor turut mengaktifkan Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima membolehkan orang ramai menyalurkan sumbangan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2023 @ 3:07 PM