Sri Ayu Kartika Amri

Shah Alam: Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) julung kali melancarkan maskotnya, Mr Dino sempena Karnival Jom Heboh (KJH) Selangor Generasi Muda di sini, hari ini.

Maskot dinosaur dinamakan Mr Dino itu menjadi tumpuan pengunjung di reruai NSTP sebaik dilancarkan.

Pengarang Urusan NSTP merangkap Pengarang Urusan Berita Harian Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman berkata, KJH kali ini berbeza kerana jenama NSTP membawakan pengalaman istimewa kepada pengunjung.

Katanya, NSTP tampil pertama kali dengan memperkenalkan terowong dinosaur atau Dino Land di reruai KJH bagi memberi pendekatan kepada pembaca akhbar digital NSTP termasuk Berita Harian, Harian Metro dan News Straits Times untuk merasai pengalaman kembali ke zaman purba dinosaur.

"Reruai NSTP sudah pasti memberi kelainan kepada pengunjung kerana di sini kita ada Dino Land atau hutan dinosaur.

"Ia bakal memberi pengalaman baharu kepada pengunjung terutama mereka yang membawa anak-anak.

"Terima kasih juga diucapkan kepada kakitangan NSTP yang sudah bertungkus lumus menjayakan reruai kali ini dan pengunjung jangan lepaskan peluang menyertai aktiviti di reruai NSTP serta dapatkan pelbagai hadiah menarik," katanya di majlis pelancaran reruai dan maskot NSTP di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarang Kumpulan Harian Metro Husain Jahit, Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST) Farrah Naz Karim, Pengarang Eksekutif Berita Harian M Thilinathan dan Ketua Pegawai Operasi Print Towers Sdn Bhd Luqman Adrine Jaafar.

PENGUNJUNG mengambil kesempatan merakam gambar Mr Dino pada Karnival Jom Heboh. FOTO Saifullizan Tamadi
PENGUNJUNG mengambil kesempatan merakam gambar Mr Dino pada Karnival Jom Heboh. FOTO Saifullizan Tamadi

Selain itu, perasmian yang menampilkan maskot Mr Dino turut disertai barisan pengurusan tertinggi NSTP serta wakil penaja dari Julie's Manufacturing Sdn Bhd, Mr Bentong Nestle Malaysia, Bernas dan Halal Development Corporation (HDC).

Sementara itu, reruai NSTP turut menawarkan pakej keluarga yang sangat istimewa iaitu RM30 untuk dua dewasa dan tiga kanak-kanak yang mana mereka juga akan mendapat langgan akhbar digital selama sebulan secara percuma, goodies bag yang berisi satu kampit beras, dua botol air dan tiga naskah akhbar keluaran NSTP.

Pengunjung juga berpeluang untuk mengambil gambar di booth dinosaur seisi keluarga selepas masuk ke Dino Land dengan percuma.

Karnival Jom Heboh Exco Generasi Muda Selangor ini diadakan sempena ulang tahun TV3 ke-39 yang berlangsung selama tiga hari (2 hingga 4 Jun) di Dataran Karnival, Stadium Shah Alam.

Pelbagai reruai disediakan Media Prima Berhad (MPB) dengan rangkaian produk popular seperti TV3, TV9, NTV7, Tonton, WOWSHOP, akhbar New Straits Times, Berita Harian dan Harian Metro.

Tidak ketinggalan stesen radio Hot FM, Buletin FM, Molek FM, aplikasi Waktu Solat Malaysia, Oh Bulan, Sirap Limau, Seismik TV, Vocket dan jenama kandungan popular, Drama Sangat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Jun 2023 @ 4:01 PM