Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Menggunakan dialek Kelantan dalam drama dan filem dilakonkan atau diarahkan, namun ia dapat diterima bukan sahaja dalam kalangan penduduk Kelantan, malah di seluruh negara.

Nama pengarah dan pelakon berkaliber, Sabri Yunus, 61, tidak asing lagi dalam industri seni tanah air kerana beliau dikenali ramai.

Bukan sahaja dikenali dalam kalangan orang dewasa, kanak-kanak juga turut mengenali nama besar itu yang turut membawa identiti Kelantan.

Kejayaan pengarah dan pelakon itu turut mengharumkan nama Kelantan sehingga drama yang diarahkan atau dilakonkan beliau mendapat tempat di hati penonton seperti Pok Ya Cong Codei.

Menurut Sabri, beliau mula terbabit dalam industri seni sejak 1980-an dan lebih 100 drama termasuk filem sudah beliau berlakon.

Pada masa yang sama, beliau juga sudah mengarahkan lebih 40 drama dan telefilem bermula sejak 2011 hingga kini.

"Saya berlakon dan mengarahkan drama serta telefilem yang menggunakan dialek Kelantan namun ada juga drama yang menggunakan bahasa Melayu standard.

"Lebih kurang 10 drama yang saya arahkan menggunakan dialek Kelantan. Saya bersyukur kerana drama ini dapat diterima bukan sahaja dalam kalangan penonton orang Kelantan, malah masyarakat luar.

"Bagi saya drama yang menggunakan dialek Kelantan ini sangat dekat dengan diri kerana saya lebih faham budaya masyarakat negeri ini," katanya ketika dihubungi di sini.

SABRI Yunus (tengah) ketika menghadiri pratonton tayangan Tumpat Berdarah. - Gambar NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
SABRI Yunus (tengah) ketika menghadiri pratonton tayangan Tumpat Berdarah. - Gambar NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR

Anak jati Kota Bharu itu berkata, drama yang menggunakan dialek Kelantan juga mengetengahkan budaya masyarakat Kelantan, sekali gus dapat memperkenalkannya kepada penduduk negeri lain.

Menurutnya, setiap drama yang dibuat atau dilakonkan adalah mengikut permintaan terutama daripada pihak stesen televisyen atau skrip yang ditulis.

"Sebagai pengarah atau pelakon, saya akan mengikut apa yang diminta dan akan berusaha membuat yang terbaik. Alhamdulillah, sehingga kini saya masih kekal dalam industri.

"Dalam perancangan pada masa akan datang, saya akan menghasilkan lagi drama termasuk menggunakan dialek Kelantan sekiranya ada permintaan daripada stesen televisyen atau pihak yang berkaitan," katanya.

Menurutnya, sejak berkecimpung dalam industri seni tanah air, beliau menerima beberapa penghargaan antaranya daripada kerajaan negeri iaitu Ikon Seni Anak Kelantan yang merangkap duta serta Kelantan Business Entrepreneurship Awards 2022 yang disampaikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

"Saya bersyukur kerana terus dihargai oleh pelbagai pihak termasuk daripada kerajaan negeri Kelantan.

"Memperkenalkan Kelantan bermakna saya membawa Kelantan dan kepatuhan kepada agamanya sekali. Itulah budaya yang saya cuba untuk ketengahkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 November 2022 @ 8:35 PM