BABAK membabitkan Azhan dengan Fasha.
BABAK membabitkan Azhan dengan Fasha.

Kuala Lumpur: Pelakon, Azhan Rani, 47, berharap dapat meredakan kemarahan segelintir pihak yang mendakwanya sebagai punca Fasha Sandha, 39, cedera dalam penggambaran membabitkan mereka, baru-baru ini.

Azhan berkata, dia mendoakan Fasha kembali pulih walaupun masih ada mengaitkan dia dengan kemalangan tak diduga itu.

"40 kali tulis padam, tulis padam. Saya tepek sajalah mesej suara antara kami semalam. Insya-Allah dia dalam proses sembuh dan semakin baik berkat doa yang tak putus-putus daripada semua.

"Maaf saya tak berminat nak ulas apa-apa buat masa ini. Biar Fasha sendiri selepas sihat dan pulih 100 peratus yang jelaskan. Tapi masa ini saya raikan saja apa juga pandangan, kecaman atau tomahan.

"Lepaskan saja pada saya andai itu boleh melegakan. Cuma jangan lupa titipkan doa buat pasangan gandingan saya Fasha agar dia kembali pulih macam selalu," tulisnya di Instagram.

Azhan turut berterima kasih kepada suami Fasha yang juga pelakon, Aidil Aziz dan penerbit drama itu yang sangat memahami sejak kemalangan terbabit berlaku.

"Terima kasih sentiasa di sisi dari mula insiden hingga hari ini. Tak lupa juga but pengarah Along Kamaludin serta seluruh pasukan produksi telemovie Anak Tuan. Semoga ada hikmah yang baik buat kita semua.

"Berikanlah dulu ruang buat Fasha berehat. Insya-Allah bila keadaan mengizinkan nanti beliau sendiri akan maklumkan. Terima kasih sekali lagi, semoga hantaran ini mampu meredakan emosi semua. Teruskan berdoa," katanya.

Semalam, Fasha berkongsi videonya 'meraung' menahan kesakitan selepas mengalami kecederaan di bahagian mata kirinya akibat terjatuh ketika menjalani penggambaran drama berjudul Anak Tuan di Johor Bahru.

Melalui paparan rakaman video itu, Fasha dilihat ditolak Azhan sehingga kepala dan matanya terkena pada bucu katil secara tidak sengaja.

Berikutan itu, Azhan dikecam netizen yang mendakwa dia bertindak keterlaluan dalam menghidupkan babak berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mac 2023 @ 6:04 PM