Joey BPR.
Joey BPR.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Penyanyi kumpulan rock Bumi Putra Rockers (BPR), Joey melahirkan perasaan teruja apabila mereka buat julung kalinya ditawarkan bayaran agak lumayan dalam sebuah konsert.

Joey, 60, atau nama sebenarnya Johari Mat Rozekhi berkata, dia dihubungi oleh satu penganjur yang menawarkan beraksi dalam sebuah konsert yang mengumpulkan 11 kumpulan nama besar tempatan.

"Bila dengar bajet besar, saya hanya terfikir nak bantu anggota BPR yang lain. Malah nama BPR pun nak kena 'maintain' juga. Bila dapat show yang besar macam ini, selesalah mereka.

"Sebelum ini asyik dapat show yang bayar murah sahaja. Macam yang ini, mereka boleh bagi RM50,000 satu show. Jadi saya cakap pada anggota lain di Johor, datang Kuala Lumpur berlatih betul-betul di studio saya.

"Penganjur ini memang syarikat antarabangsa. Mereka dah siap tunjuk layout pentas pada saya. Benda ini nak cakap besar pun tak boleh kerana sekadar perancangan, tapi diharapkan jadi kenyataan," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Joey yang popular menerusi lagu Seribu Tahun Takkan Mungkin berkata, setakat ini penganjur sudah berurusan dengan kumpulan Search dan XPDC untuk terbabit dalam konsert yang dijadual berlangsung pada 29 Oktober di Stadium Bukit Jalil.

"Sepanjang karier BPR, memang tak pernah dapat bayaran begitu. Paling besar pun pernah rasa dapat RM20,000.

"Saya sebenarnya tak fikir fasal duit sangat. Saya cuma fikir kalau dapat main tempat yang best, apabila orang tengok video, mereka nak panggil pergi show lagi. Saya tak nak senyap sahaja.

"Nanti orang ingat BPR dah tua tak boleh beraksi dah. Jadi inilah strateginya. Macam RTM ulang semula persembahan BPR sebelum, ia membantu publisiti kami," katanya.

Menurutnya, agak menyedihkan apabila ada seorang ustaz memetik nama BPR dan memuji mereka kerana menyanyikan lagu Dajal suatu ketika dulu.

"Katanya sekarang kami dah tiada lagi. Maksudnya kami dah macam dah berkubur. Jadi saya terpaksa buat promosi supaya orang tahu rupanya kami masih ada. Ramai yang ingat kumpulan 'rock kapak' dah berkubur. Padahal kami semua masih ada.

"BPR akan tampilkan anggota asal kecuali Enal (dram) tak nak main. Saya kena cari pemain dram lain.

"Yem (pemain bass) pula terpaksa berhenti kerja jaga abangnya yang sakit. Kalau saya ada duit saya bagi tapi tak banyak juga. Kalau show ini jadi sekurang-kurangnya dapat juga duit yang banyak seorang.

"Bukan selalu kami nak merasa duit banyak. Berpuluh-puluh tahun aktif takkan nak merasa duit show RM5,000 dibahagi-bahagi pula," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 April 2023 @ 1:35 PM