Penyanyi, Syafiq Farhain. Foto Genes Gulitah
Penyanyi, Syafiq Farhain. Foto Genes Gulitah
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Penyanyi Syafiq Farhain, 29, jarang berkongsi perihal isterinya Alia Nadia, 29, di media sosial kerana Alia sendiri yang tidak berminat untuk dirinya didedahkan.

Syafiq atau nama sebenarnya Nursyafiq Farhain A.M Salim berkata dia hormati permintaan itu kerana ikutkan sebolehnya dia pun enggan kongsi lebih-lebih kisah peribadinya.

"Sebenarnya hal peribadi saya kurang sedikit nak dedah. Satu lagi, 'orang rumah' saya sendiri pun memang dia tak berminat sangat. Masuk Instastory sayakah, masuk 'feeds' sayakah.

"Tak apalah, saya okay saja. Lagi bagus sebenarnya macam itu. Dia beritahu tak payahlah kalau saya nak buat Instastory atau apa. Dia sendiri suruh padam," katanya ditemui pada Majlis Iftar Raya Bersama Artis Rusa dan MVM, baru-baru ini.

Penyanyi lagu Kau Bidadari itu pun akui risau jika isterinya menjadi mangsa komen bukan-bukan.

Menurutnya, gerangan isterinya pun boleh saja dicari di internet.

"Sebenarnya pernah saja (tunjuk isteri), ada dalam surat khabar pun. Kalau nak tengok terpulanglah nak cari sendiri. Tapi itulah orang kan kalau sudah pegang 'keyboard' adalah jadi macam 'body shaming'.

"Saya tak suka hal itu. Takut nanti kalau terbaca apa mereka kata walaupun tak ada apa-apa pun. Tapi bila sudah mengata, rasa tak senanglah. Kalau boleh kita bersederhana saja," katanya.

Dalam pada itu, Syafiq kini berdebar menantikan kelahiran cahaya mata sulungnya tidak lama lagi. Dia bersyukur kehamilan Alia cukup dipermudahkan.

"Insya Allah, selepas Aidilfitri bersalin. Sekarang ini sudah lapan bulan. Berdebar juga, bila kita sentuh (kandungan), asyik kena tendang saja.

"Setakat ini, semuanya okay saja tak ada masalah sangatlah, alahan pun tak ada sangat, normallah. Tak ada mengidam pelik-pelik lagi," katanya.

Syafiq berkahwin dengan Alia yang juga pengurusnya pada 10 Oktober 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 April 2023 @ 12:08 PM