Syafiq dan isteri tak sabar menantikan kelahiran anak sulung
Syafiq dan isteri tak sabar menantikan kelahiran anak sulung
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: "Ya... isteri saya hamil lima bulan. Saya berharap sesiapa yang baca berita ini sama-sama mendoakan semoga anak kami dan juga isteri saya sihat dan selamat.

"Insya-Allah isteri saya akan melahirkan anak kami sekitar Mei atau Jun depan. Jujurnya macam-macam saya fikir apa yang saya kena buat nanti."

Demikian kata penyanyi dan pelakon Syafiq Farhain yang mengesahkan khabar gembira itu kepada media.

Syafiq atau nama sebenarnya Nursyafiq Farhain AM Salim, 29, berkata, perasaannya berdebar-debar menanti kelahiran anak sulung mereka.

"Kalau tanya saya sudah bersedia atau belum, semestinya kita kena bersedia untuk menempuhinya.

"Tapi saya bersyukur semuanya berjalan dengan baik dan saya juga tiada masalah alahan atau sebagainya," katanya ketika ditemui pada sidang media Solidariti Untuk Iskandar Spring di sebuah pusat membeli-belah hari ini.

Syafiq berkahwin dengan Alia Nadia, 29, yang juga pengurusnya pada 10 Oktober 2021.

Terdahulu, Syafiq yang ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran syarikat pengurusan MVM dan Rusa Music, April tahun lalu, mengaku sudah berkahwin dan tidak berniat untuk merahsiakan perkahwinan mereka.

Sementara itu, Iskandar atau nama sebenarnya Tengku Raden Iskandar Tengku Ismail, pemain gitar Spring kini dalam keadaan lumpuh serta turut menderita pelbagai penyakit kronik seperti kencing manis, kesukaran bertutur dan menjalani dialisis akibat komplikasi buah pinggang.

Berikutan itu Iskandar yang juga antara pengasas kumpulan Spring itu juga hilang daya upaya kerja dan tiada sumber mata pencarian.

Syafiq berbesar hati dipilih terbabit untuk membantu Iskandar dalam Jelajah Amal Solidariti Untuk Iskandar Spring yang akan diadakan di Santai Seni@TAR, Jalan Tunku Abdul Rahman, Ahad ini.

Persembahan percuma ini akan bermula pada jam 2.30 hingga 6.30 petang.

"Alhamdulillah saya akan menyanyikan empat buah lagu nanti. Insya Allah lagu-lagu yang akan dinyanyikan adalah lagu Iklim.

"Saya harap jelajah ini akan dapat sambutan dan sokongan ramai untuk kita sama-sama membantu abang Iskandar yang memerlukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 January 2023 @ 7:09 PM