SYAFIQ Farhain. FOTO Genes Gulitah
SYAFIQ Farhain. FOTO Genes Gulitah
Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Bakal genap 10 tahun bergelar pegawai bomba Ogos ini, penyanyi Syafiq Farhain, 29, tidak terfikir langsung untuk meninggalkan kerjaya itu bagi memberi fokus kepada bidang nyanyian sepenuh masa.

Syafiq atau nama sebenarnya Nursyafiq Farhain A M Salim berkata, memang ramai sudah bertanyakan perkara itu sehingga ada yang mendakwa dia ingin meninggalkan kerjaya sebagai anggota bomba.

"Ramai dah orang tanya soal ini. Dalam jabatan sendiri pun, ada ura-ura kata saya nak berhenti. Tidak, tak ada! Saya tak tahulah mereka dengar dari mana.

"Saya memang tak pernah cakap saya nak berhenti kerja sebagai anggota bomba dan fokus pada nyanyian. Saya boleh buat dua kerja ini sekali gus dan masih boleh uruskan masa.

"Jadi, tiada masalah dari segi pengurusan masa itu. Kalau boleh nak lama, tak ada pun rasa nak berhenti," katanya yang juga anak kepada penyanyi Iklim, Allahyarham Saleem.

Penyanyi lagu Kau Bidadari itu tidak menafikan dia memilih untuk ada kerjaya tetap sebagai jaminan kukuh.

Bagaimanapun, faktor utamanya menceburi Jabatan Bomba dan Penyelamat kerana minat mendalam dalam bidang itu.

"Jaminan itu ya juga. Yang selebihnya memang saya minat dan suka. Walaupun sekarang saya kerja dalam pejabat saja buat masa sekarang, kita tak tahu suatu hari nanti boleh buat kerja-kerja di balai kan," katanya.

Sejak berpindah ke ibu pejabat di sini pada 2017, Syafiq mengakui dia rindu untuk melakukan kerja-kerja lapangan dan terbabit mengendalikan kes di balai.

"Sebenarnya kerja di balai itu seronok. Pergi apa-apa kes sekali pun, setiap kes kita dapat ilmu baharu, pengalaman baharu. Berbezalah dengan duduk di pejabat.

"Ya pernah masa saya di Johor. Sebelum datang ke ibu pejabat, memang saya kat balai. Pergi kes kebakaran dan operasi. Sama macam yang orang tengok naik jentera bomba itulah. Memang penat tapi seronok," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 April 2023 @ 11:30 AM