Syafiq Farhain.
Syafiq Farhain.
Oleh Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Keadaan kesihatan penyanyi, Syafiq Farhain, 27, yang disahkan positif Covid-19 pada 11 Februari lalu kini semakin pulih walaupun berat badannya susut empat kilogram.

Syafiq atau nama sebenarnya Nursyafiq Farhain A M Salim berkata, deria rasanya juga sudah beransur baik walaupun belum pulih sepenuhnya.

"Hari ini hari ke-10 sejak saya mula bergejala. Deria rasa saya sudah kembali pulih, bukanlah 100 peratus tapi bolehlah rasa makanan.

"Gejala lain pun sudah pulih seperti badan cepat penat dan lesu, panas sejuk tak menentu. Senang kata, saya semakin okay," katanya.

Penyanyi yang popular dengan lagu Sayang Maafkan Aku dan naib juara program Big Stage musim pertama pada 2018 itu berkata, dia juga masih menunggu panggilan untuk ujian calitan seterusnya.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) belum maklumkan apa-apa lagi dan saya masih menunggu panggilan untuk menjalani ujian calitan itu. Saya berharap bebas dari Covid-19. Doakan saya," katanya yang kini menjalani kuarantin di rumah.

Pada 11 Februari lalu, Syafiq berkongsi berita sedih apabila dia disahkan positif Covid-19 menerusi keputusan ujian calitan yang dilakukan sehari sebelum itu.

Menurutnya, dia membuat ujian calitan itu selepas mula berasa tidak sedap badan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Februari 2021 @ 4:39 PM