SYAFIQ FARHAIN. FOTO IG SYAFIQ FARHAIN
SYAFIQ FARHAIN. FOTO IG SYAFIQ FARHAIN
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Penyanyi Syafiq Farhain, 26, tetap berpegang teguh dengan prinsipnya untuk tidak berkongsi cerita peribadi seperti kisah cinta buat tatapan peminat sebelum tiba masanya.

Syafiq atau nama sebenarnya Nursyafiq Farhain A M Salim berkata lebih baik berkongsi mengenai kerjaya berbanding kisah peribadi kerana urusan jodoh Allah SWT yang tentukan.

"Tak ada yang menarik pun mengenai kisah peribadi saya. Jadi, tak payahlah cerita apa-apa. Kalau orang lain (artis) nak kongsi kisah cinta mereka, itu hak masing-masing.

"Untuk saya, tak ada apa-apa cerita pun. Insya-Allah, sampai masanya ada jodoh saya beritahu. Tapi, sekarang kena fokus pada stabilkan kerjaya duhulu," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Syafiq, walaupun dia ada pekerjaan tetap sebagai anggota bomba tetapi akibat penularan Covid-19 ini, tempias turut dirasainya.

"Nak kata pendapatan tidak terjejas itu, tipulah. Saya pun sedikit-sebanyak rasa tempias pendapatan ada berkurang kerana tiada undangan persembahan menyanyi.

"Kalau dahulu, setiap hujung minggu pasti jadual tawaran menyanyi untuk saya ada. Tapi, sekarang tak ada langsung dan kenalah akur.

"Saya mahu pun kita semua harus sabar dan cekal dengan dugaan ini. Bersyukur dengan apa yang ada dan untuk saya, Alhamdulillah masih ada kerja tetap dan kini, lebih berjimat- cermat dalam perbelanjaan," katanya.

Menurut Syafiq, pada saat kritikal akibat krisis pandemik yang belum berakhir ini, wajar untuk memaksimakan perbelanjaan supaya boleh membuat simpanan wang untuk kegunaan kecemasan.

Syafiq yang juga anak Allahyarham Saleem Iklim, sebelum ini popular dengan lagu Sayang Maafkan Aku pada 2017 dan pernah dinobatkan naib juara Big Stage musim pertama pada 2018.

Pun begitu, kini kerjaya nyanyian Syafiq seakan sepi apabila beberapa lagu dilancarkannya kurang mendapat perhatian. Malah, kali terakhir Syafiq melancarkan lagu sekitar 11 bulan lalu yang berjudul Sakit Hati.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Disember 2020 @ 12:27 PM