SYAFIQ tetap akan nyanyi lagu arwah bapa jika ada permintaan. FOTO Aziah Azmee
SYAFIQ tetap akan nyanyi lagu arwah bapa jika ada permintaan. FOTO Aziah Azmee
Sudirman Mohd Tahir


SYAFIQ Farhain tetap akan menyanyikan lagu arwah bapanya, Saleem sekiranya mendapat permintaan daripada pihak penganjur persembahan.

Syafiq, 25, atau nama sebenarnya Nursyafiq Farhain A M Salim berkata, semasa hayat bapanya, bekas penyanyi Iklim itu tidak pernah menghalang dia berbuat demikian.

“Apa masalahnya jika saya menyanyikan lagu arwah bapa? Orang panggil saya buat persembahan, dia nak dengar saya nyanyi. Semestinya mereka ada permintaan untuk lagu tertentu. Kalau mereka nak saya nyanyikan lagu arwah, saya akan nyanyi saja.

“Dalam perkara ini tidak perlu nak minta izin pun. Kalau nak tahu, sebelum saya menandatangani kontrak menjadi penyanyi, arwah benarkan saya nyanyikan lagu dia. Saya ingat lagi dia cakap, lagi bagus saya nyanyi sebab orang boleh ingat lagunya.

“Kata-kata itu saya pegang sampai sekarang. Malah, setiap kali saya bertemu arwah, dia tidak pernah pun larang saya daripada menyanyikan lagunya,” katanya.

Terdahulu, balu kepada Saleem, Julia Bachok dalam satu kenyataan di sebuah portal memberi amaran kepada mana-mana pihak yang sewenang-wenangnya membuat duit menggunakan nama arwah suaminya.

Menerusi kenyataan itu, Julia mahu pihak terbabit meminta izin daripadanya terlebih dulu jika ingin menyanyikan lagu Saleem.

Sementara itu, ditanya mengenai ketiadaan namanya sempena penganjuran Konsert Supernova of the Legendary S yang bakal berlangsung, Syafiq yang juga pemenang tempat kedua program Big Stage mengakui tidak mendapat jemputan rasmi.

“Saya tidak mendapat sebarang panggilan atau makluman rasmi daripada pihak mereka. Begitu juga dengan pihak pengurusan saya. Apa pun, saya okey saja. Lagipun, saya memang tidak mahu masuk campur dan ada sebarang urusan dengan mereka. Tidak ada keperluan pun,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Syafiq baru muncul dengan single Manis Manis Cinta duet bersama Baby Shima.

Lagu ciptaan yang juga karya terakhir Allahyarham Pak Ngah dan lirik oleh Siso Kopratasa itu sudah mendapat 652,000 tontonan di YouTube sejak dilancarkan pada 15 April lalu.

“Saya sebenarnya tidak menjangka menjadi pilihan Pak Ngah. Selama ini saya minat lagu Irama Malaysia dan memasang impian untuk menyanyikan lagunya. Namun, apabila arwah meninggal dunia saya berasakan sudah terlepas peluang itu.

“Mungkin rezeki saya apabila dimaklumkan arwah memilih saya untuk menyanyikan lagu ini. Ketika mendengar demo lagu ini, saya terus menyukainya. Apabila mereka minta cadangan penyanyi duet, saya terus terfikirkan Baby Shima,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2019 @ 11:01 AM