SYAFIQ idam karya yang betul-betul kuat yang mampu melonjakkan nama dalam seni suara.
SYAFIQ idam karya yang betul-betul kuat yang mampu melonjakkan nama dalam seni suara.
Ridzuan Abdul Rahman


POPULARITI seseorang artis dalam industri seni ada pasang dan surutnya. Ada kalanya menjadi pujaan peminat dan ada ketikanya seakan-akan dilupakan. Hakikat ini diakui oleh penyanyi Syafiq Farhain.

Pernah mengecap nikmat populariti menerusi single pertama, Sayang Maafkan Aku, Syafiq, 29, atau nama sebenarnya Nursyafiq Farhain A M Salim menerima seadanya perjalanan kariernya sekarang.

"Saya bukan 'low profile' sangat kerana masih aktif menyanyi. Cuma sejak berlaku Covid-19 undangan mula berkurangan.

"Saya pula jarang buat hantaran berkenaan aktiviti nyanyian di media sosial. Jadi, orang ingat saya dah menyepi sedangkan 'show' (persembahan) sentiasa ada.

"Berbanding artis lain yang rajin buat hantaran di media, saya pula berbeza. Namun, 'show' sentiasa ada walaupun mungkin tak banyak sangat," katanya.

Syafiq menyedari namanya belum besar kerana belum mempunyai lagu yang betul-betul kuat dan mampu melonjakkan namanya kepada peminat.

"Saya tak jumpa lagi benda itu. Saya tidak terfikir sampai nak tinggalkan syarikat rakaman sedia ada kerana nanti buat kerja sia-sia. Dahlah nak buat lagu sendiri pun mahal.

"Bagi saya syarikat rakaman MVM okey sahaja. Apa yang saya faham mereka ada ramai artis. Saya tak boleh bergantung dengan mereka sahaja kerana pegawai promosi tak ramai.

"Nak kendalikan ramai artis susah juga buat mereka. Jadi, dari situ saya usaha cari lagu sendiri. Lagunya pun dah ada," katanya.

Syafiq kini bekerjasama dengan Ejai Azarra Band menghasilkan lagu manakala susunan lagu pula oleh Harry Khalifah.

"Sekarang tinggal nak masuk vokal saja. Tajuknya belum ada lagi. Sementara lirik nak kena perbaiki lagi supaya lebih menarik," katanya.

Syafiq pada majlis berbuka puasa anjuran syarikat pengurusan MVM dan Rusa Music pada April tahun lalu mengesahkan dirinya sudah berkahwin dengan pengurusnya Alia Nadia, 29.

SYAFIQ mahu mencari lagu yang boleh menaikkan popularitinya di mata peminat.
SYAFIQ mahu mencari lagu yang boleh menaikkan popularitinya di mata peminat.

Perkahwinan ini berlangsung pada 10 Oktober 2021 dan isterinya kini mengandung lima bulan.

Anak keempat kepada Allahyarham Saleem Iklim ini, bagaimanapun menolak perkahwinan sebagai punca popularitinya merosot.

"Seperti saya katakan tadi, saya cuma tiada lagu baharu yang kuat. Itu mungkin punca nama jadi hilang seketika. Maklumlah orang jarang dengar lagu saya di radio.

"Saya tak rasa kemunculan artis baharu jadi cabaran buat saya. Apa pun, 'show' alhamdulillah tetap ada. Tapi, nak kata sehebat dulu macam goreng pisang itu tidak.

"Dulu lepas habis program Bigstage, undangan untuk 'show' banyak. Tapi, pandemik jadi salah satu punca undangan 'show' berkurangan," katanya.

Selain menyanyi, Syafiq yang masih bertugas dengan pasukan bomba juga pernah berlakon dan menjadi hos program berkonsep travelog.

BAKAL bergelar bapa tidak lama lagi.
BAKAL bergelar bapa tidak lama lagi.

"Saya tiada masalah bahagikan masa antara kerjaya seni dan kerja tetap kerana tawaran menyanyi hanya pada hujung minggu.

"Cuma tawaran berlakon kena tolak kerana saya bekerja tetap. Jadual lakonan tak tentu masa. Tak nak timbul masalah nanti. Saya tak dapat bagi komitmen. Baik jangan buat dari awal.

"Tawaran memang ada. Dah banyak kali saya tolak dalam tiga atau empat tawaran. Rasa rugi juga dari segi pendedahan. Tapi, saya ambil pendirian jangan tamak. Anggap ia bukan rezeki," katanya.

Dalam perkembangan lain, Syafiq berbesar hati dipilih terbabit untuk membantu Iskandar Spring dalam Jelajah Amal Solidariti Untuk Iskandar Spring anjuran Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) yang akan berlangsung di beberapa lokasi di seluruh negara.

Persembahan pertama berlangsung di Santai Seni@TAR, Jalan Tunku Abdul Rahman pada Ahad lalu.

"Terima kasih kepada Ameng Spring, Umarul dan Karyawan kerana beri peluang kepada saya untuk sama-sama membantu dalam program ini.

"Secara tak langsung ia boleh memberi pendedahan kepada saya dan boleh memberi perkara positif buat karier saya.

"Saya bawa nama arwah ayah kerana mereka seangkatan dia. Arwah yang patut duduk di tempat saya dalam program begini. Tapi, mereka beri ruang kepada saya merasai pengalaman ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Februari 2023 @ 7:00 AM