Pelakon Farid Kamil.
Pelakon Farid Kamil.
Ramlah Zainal


Shah Alam: "Saya tidak tahu apa yang Aurora trauma kerana hubungan saya dengan anak-anak rapat sebagai ayah dan anak," kata pelakon, Farid Kamil, 42, ketika diminta mengulas dakwaan isterinya, Diana Danielle, 32, mengenai anak bongsu mereka, Nur Aurora, 8, yang dikatakan trauma hingga dihalang dari berjumpa dengan Farid.

Farid berkata, dia juga tidak tahu kenapa dihalang dari berjumpa dengan anak-anaknya sejak 23 hari lalu.

"Adakah kerana saya bertanya soalan peribadi yang menyinggung perasaan dia (Diana)? Saya tidak tahu kenapa saya dihalang dari berjumpa anak-anak dan itu kena tanya Diana," katanya.

Terdahulu, Diana ketika ditemui wartawan di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, di sini, pagi semalam mendakwa Aurora berada dalam keadaan trauma apabila ditanya mengenai dakwaan Farid yang sudah 23 hari tidak bertemu anak-anak.

Bagaimanapun, Diana enggan menjawab punca anaknya itu trauma.

Farid ketika ditemui di lokasi penggambaran filem Gold arahan Adrian Teh di Stadium Malawati di sini, malam tadi juga menyerahkan perkara itu untuk pertimbangan pihak mahkamah.

"Saya tidak akan mengaibkan anak-anak dan isteri untuk kepentingan peribadi," katanya.

Dalam pada itu, Farid juga tidak tahu di mana Aurora dan abangnya, Muhammad, 10, berada sekarang.

"Saya memang rindu pada anak-anak tetapi apa yang saya boleh buat? Hanya kepada Allah, tempat saya mengadu.

"Saya mendapat taufik dan hidayah ketika mengerjakan umrah dan ziarah baru-baru ini. Dari situ saya dapat meningkatkan tahap kesabaran yang ada pada saya sekarang," katanya.

Farid dan Diana hadir ke mahkamah pagi semalam bagi memaklumkan mengenai pelantikan wakil dalam Jawatankuasa Pendamai (JKP) bagi menyelesaikan konflik rumah tangga mereka selepas Farid enggan melafazkan cerai terhadap Diana.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2023 @ 1:11 AM