Diana Danielle
Diana Danielle
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Pelakon Diana Danielle, 32, menafikan insiden 'petik cili' oleh anaknya, Nur Aurora, 8, di rumah jiran adalah alasan dia mahu bercerai dengan suaminya juga pelakon dan pengarah, Farid Kamil,42.

Diana menerusi hantaran di Instagram Story mendakwa, dia memfailkan permohonan cerai berkenaan dua hari sebelum insiden 'petik cili' dikatakan itu berlaku.

"Siapa kata, insiden 'petik cili' adalah sebab saya minta cerai? Saya minta cerai dua hari sebelum insiden itu terjadi.

"Dia (Farid) tahu, bukan tak tahu. Saya beritahu dia mahu failkan perceraian. Dia kata, teruskan. Malah, dia minta dipercepatkan. Sekarang, bertindak seperti keliru pula?" tulisnya.

Mengulas mengenai tanggungjawab yang cuba dipertahankan Farid, Diana berkata, itu antara faktor berlakunya shiqaq berpanjangan dalam rumah tangga mereka.

"Tanggungjawab. Tanggungjawab adalah berlakunya shiqaq berpanjangan. Insiden 'petik cili' itu Aurora masih teringat sampai sekarang, dia takut nak berjumpanya. Awak nak saya paksa dia, hanya untuk gembirakan semua orang?

"Sebenarnya pagi ini, Muhammad ada bertanya sama ada dia boleh balik raya di Kedah, tapi apa Aurora cakap, dia kata 'perlukah saya pergi?'

"Saya tidak takut. Aurora dah berusia lapan tahun. Dia boleh cakap apa yang dia fikir. Jika orang fikir saya mengajar dia cakap begitu, sampai bila? Dia pun ada perasaan dan dia ambil masa seminggu untuk berhenti menangis apabila kami menyebut namanya (Farid) dan insiden itu," tulisnya.

Menurut Diana, sekiranya Farid menganggap insiden (petik cili) itu perkara kecil, terpulang. Apapun, Farid tidak boleh menafikan apa yang dirasakan oleh Aurora.

Kata Diana, memang ia perkara kecil di mata Farid, tapi apa yang dilihatnya ketika itu satu kemarahan yang meluap.

Jika tidak, kenapa dia perlu bertindak hingga menghubungi polis untuk mengambil mereka di rumah.

"Polis mengetuk pintu, tapi dia tidak membukanya. Mereka (polis) ketuk selama sejam, menunggu saya membawa anak-anak keluar dari pintu hadapan. Tapi, sebaliknya kami perlu memanjat keluar kerana dia enggan membuka pintu, kenapa? tulisnya.

Terdahulu, dalam program Melodi di TV3, Farid meluahkan perasaannya yang berasa terhina dengan apa diperlakukan Diana kepadanya sekarang.

Katanya, dia perlukan penjelasan daripada isterinya itu.

Farid juga memperjelaskan mengenai isu 'petik cili' yang didakwanya cuba diperbesarkan oleh Diana hingga hendak dibawa ke mahkamah serta kaitan insiden itu dengan situasi trauma dialami anak mereka, Aurora.

Pada 10 Mac lalu, Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.

Alasan diberikan pelakon filem Imaginur itu adalah tiada persefahaman, sudah berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan dan tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri.

Bagaimanapun, Farid enggan melafazkan cerai terhadap Diana.

Sehubungan itu, Hakim Syarie, Shukran Yusof memerintahkan Farid dan Diana untuk menjalani proses Jawatankuasa Pendamai (JKP) pada 28 Mac lalu.

Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, dan Aurora.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 April 2023 @ 8:45 PM